Perkongsian ilmu dan informasi yang berkaitan dengan Islam dan akhir zaman berdasarkan akidah ahlus sunnah wal jamaah.

Al-Masih Ad-Dajjal

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ











Dari Abi Umamah Al-Bahiliy r.a., beliau berkata; Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam banyak menyentuh masalah Dajjal. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda:

"Sesungguhnya tidak ada fitnah di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal.

Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan menjaga orang-orang mukmin”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Rib'iy bin Hirasy, katanya: "Saya berangkat dengan Abu Mas'ud al-Anshari ke tempat Hudzaifah al-Yaman r.a., lalu Abu Mas'ud berkata kepadanya: "Beritahukanlah kepadaku apa yang pernah kamu dengar dari Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam tentang Dajjal." Hudzaifah lalu berkata, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya Dajjal itu keluar dan sesungguhnya berserta Dajjal itu ada air dan api. Adapun yang dilihat oleh manusia sebagai air, maka sebenarnya itu adalah api yang membakar, sedang apa yang dilihat oleh manusia sebagai api, maka sebenarnya itu adalah air yang sejuk dan tenang. Maka barangsiapa yang menemui Dajjal di antara kamu semua, hendaklah masuk dalam benda yang dilihatnya sebagai api, kerana sesungguhnya ini adalah air sejuk dan tenang."

Setelah itu Abu Mas'ud berkata:

"Saya pun benar-benar pernah mendengarnya seperti itu."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dajjal adalah seorang manusia dari keturunan Yahudi. Dia bukan Jin atau apa jua makhluk lain selain ia sebagai manusia yang ditangguhkan ajalnya “Minal Munzharin” seperti halnya Nabi Isa a.s. yang diangkat oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala ke atas langit dan ditangguhkan kematiannya sehingga beliau nantinya turun semula ke atas muka bumi ini (Masjid Ummayad, Damascus Syria) lalu beliau akan mati dan dikuburkan di Madinah Al Munawwarah bersebelahan makam baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sama juga halnya dgn Nabi Khidir a.s., para malaikat, dan iblis yang ditangguhkan kematian sehingga qiamat nanti.


Dari Hudzaifah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: 

"Dajjal ialah orang yang buta sebelah matanya iaitu sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya yang kerinting serta dia membawa Syurga dan Neraka. Nerakanya itu merupakan Syurga dan Syurganya pula ialah Neraka bagi orang Islam dan beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala"

(Hadis Riwayat Muslim)

Ada beberapa ciri perwatakkan Dajjal yang disebutkan dalam Hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, diantaranya Dajjal seorang yang kelihatan muda, berbadan besar, sasa dan agak kemerah-merahan, rambutnya kerinting dan tebal. Kelihatan dari belakang seolah-olah dahan kayu yang rimbun.

Dan tandanya yang paling ketara sekali ada dua, iaitu;

Pertama: 

Buta mata kirinya dan kelihatan seperti buah kismis yang kecut, manakala mata kanannya tertonjol keluar kehijau-hijauan berkelip-kelip laksana bintang. Jadi kedua-dua matanya adalah cacat.

Kedua: 

Tertulis didahinya tulisan “Kafir (Kaf-Fa-Ra)”. Tulisan ini dapat dibaca oleh setiap orang Islam, sama ada ia pandai membaca atau tidak, kerana ia akan dibaca oleh 'mata hati' bukannya mata luaran kita. 

Mengikut hadis riwayat At-Thabrani, kedua-dua tanda ini menjelma dalam diri Dajjal setelah ia mengaku sebagai Tuhan. Adapun sebelum itu, kedua-dua tanda yang terakhir ini belum ada pada dirinya.


Menurut hadis riwayat Imam Muslim, bahawa Dajjal itu sudah wujud sejak beberapa lama iaitu diciptakan bersamaan diciptanya Nabi Adam a.s. Ia dirantai di sebuah pulau dan ditemani oleh seekor binatang yang bernama 'Al-Jassasah' yang membawa maksud 'pengintip'. Terdapat hadis panjang mengenainya.

Daripada Hadis ini jelaslah bagi kita bahawa Dajjal itu telah ada dan ia menunggu masa yang diizinkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala untuk keluar dari alam Samawat menjelajah permukaan bumi ini dan tempat “transitnya” itu ialah di sebelah Timur bukan di Barat.

Ada pendapat Dajjal akan muncul di Iran kota Isfahan iaitu dari arah Khurosan.

Ada pendapat mengatakan sekarang Dajjal tinggal di kerajaan iblis dan jin di Segitiga Bermuda dan selalu keluar dengan menaiki kenderaan piring terbang yang dikenali umum sebagai UFO dan sentiasa berurusan dengan pemimpin-pemimpin besar dunia.

UFO sering kelihatan muncul dibandar Vatican (pusat Katolik dunia), Rome, Italy. (agama Kristian palsu kerana Rum yang sebenarnya telah dinyatakan di dalam al Quran Surah Ar Rum (30) dan dalam hadis-hadis yang membawa maksud kerajaan Byzantine atau Constatinople)


Dari Amir Ibnu Sharahil Shabi Shab Hamdan dan disampaikan dari Fatimah binti Qais dan Fatimah mendengar hadis ini terus dari Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Hadis ini sangat panjang dan izinkan saya untuk meringkaskan hadis ini dalam bentuk cerita. Pada suatu hari, selepas menunai solat fardhu, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam naik ke atas mimbar dan berkata kepada semua para sahabat baginda yang berada di dalam masjid itu. 

"Aku akan memberitahu kalian tentang apa yang pernah aku katakan dahulu, telah diberi kepastian oleh seorang pemuda". 

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menceritakan tentang pengalaman seorang Nasrani bernama Tamim ad-Dari yang baru memeluk Islam dan berbaiah kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Cerita yang disampaikan oleh Tamim ad-dari sangat bertepatan dengan apa yang dikisahkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kepada para sahabat sebelum ini.

Pada suatu ketika, Tamim ad-Dari bersama 40 orang sahabat dari kaum Lakhm dan Juzdam mengharungi lautan dan dilambung ribut badai dan gelora.

Setelah dilambung badai selama 1 bulan, mereka akhirnya bertemu dengan sebuah pulau misteri yang berada di tengah-tengah lautan dan mereka berlabuh di pulau itu dengan menaiki perahu kecil.

(Sheikh Imran Hosein berpendapat bahawa pulau tersebut adalah Britain dan laut yang dilayari oleh mereka adalah Laut Mediterranean bukannya Laut Merah kerana berdasarkan tempoh yang panjang untuk menjumpai daratan)

Setibanya mereka sampai di pulau tersebut, mereka sangat terkejut apabila didatangi oleh seekor binatang yang tebal bulunya.

Sehingga mereka tidak dapat membezakan yang mana satu bahagian belakang dan depan binatang itu.

“Apakah kamu ini?” tanya mereka kepada binatang itu.

“Akulah pengintip rahsia (iaitu Jassasah)”, 
jawab binatang berbulu lebat itu. (Jassasah ialah apa yang kita anggap selama ini sebagai Bigfoot)

“Pengintip apa?” mereka bertanya lagi.

“Tak usahlah kamu bertanya lagi. Pergilah kamu temui seorang lelaki yang berada di dalam biara (monastri) kerana ia sangat merindukan berita dari kamu”, jawab binatang itu lagi.

Mereka pun pergilah ke biara itu. Apabila mereka sampai di dalamnya, mereka menjumpai sebesar-besar manusia yang dirantai dengan kuat.

Kedua tangannya dibelenggu di lehernya. Kaki dan lututnya diikat dengan besi hingga buku lalinya.

“Makhluk apakah kamu ini?”  tanya mereka kepada makhluk itu.

“Sebenarnya kamu telah melihat keadaanku. Kamu pula siapa?”
tanya makhluk itu kembali.

“Kami adalah bangsa Arab. Kami belayar di laut yang bergelora lalu kapal kami dipukul ombak selama sebulan dan akhirnya kami terdampar di pulaumu ini”, jawab mereka.

Setelah mendengar penjelasan mereka, makhluk berantai itupun bertanya, “Cuba ceritakan kepadaku tentang kurma di Baisan. Adakah ia masih berbuah?”, tanya makhluk itu.

“Ya! Ia masih berbuah.” jawab mereka.

“Sesungguhnya hampir ia tidak berbuah lagi. Bagaimana pula tentang Tasik Thabariayah (Sea of Galilee)? Apakah ia masih ada air?” tanya makhluk itu lagi.

“Airnya masih banyak.” jawab mereka.

Lalu dia berkata “Sesungguhnya tidak lama lagi ia akan kering”. 

Kemudian dia bertanya lagi, “Bagaimana pula dengan mata air Zughar? Apakah masih ada airnya dan apakah penduduk di sekelilingnya masih menggunakan mata air itu untuk tanaman mereka?” 

“Ya! Airnya masih banyak dan penduduk di sekelilingnya masih menggunakan mata air itu untuk tanaman mereka”, jawab mereka.

Kemudian dia bertanya lagi, “Bagaimanakah dengan nabi ummiyin (yakni Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam)? Apakah yang dikerjakannya? Dan apakah orang-orang Arab memeranginya? Dia dilahirkan di Mekah dan telah berhijrah ke Yathrib (Madinah)"

Ya, mereka memeranginya” jawab mereka.

“Seterusnya bagaimana perlakuannya terhadap mereka?” tanya makhluk itu berkenaan Rasulullah.

“Dia telah banyak memperolehi kemenangan terhadap mereka, bahkan hampir semua orang Arab yang ada di sekelilingnya telah mengikutinya” mereka menjawab.

“Sungguhkah itu yang terjadi?”, tanya makhluk itu untuk mendapatkan kepastian.

“Ya! Sesungguhnya itulah yang terjadi”, jawab mereka dengan yakin.

Lalu makhluk itu berkata, “Kalau mereka mengikutinya, maka itulah yang terbaik. Maka sekarang ini aku ingin memberi tahu kepadamu siapakah sebenarnya aku.

Akulah Al Masih Ad Dajjal. Rasanya sudah hampir diizinkan aku untuk keluar. Bila aku keluar nanti aku akan berjalan ke serata permukaan bumi sehinggakan tiada sebuah kampung pun yang terkecuali.

Aku akan berada selama 40 hari kecuali Makkah dan Tahibah (Madinah). Kedua kota ini diharamkan ke atasku.

Aku dihalang oleh Malaikat dengan pedang yang terhunus. Mereka mengawal kedua-dua kota itu daripadaku dan sesungguhnya pada setiap Malaikat yang menjaganya”, terang makhluk yang bernama AL MASIH AD DAJJAL itu.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menghentak tongkatnya seraya berkata, “Inilah Tahiyibah!! Inilah Tahiyibah!! Inilah Tahiyibah yakni Madinah. Bukankah aku telah sampaikan berita ini kepada kamu semua?”

“Benar, wahai Rasulullah!”, para sahabat menjawab.

Hadis Riwayat Muslim



Dajjal adalah makhluk 'wujud' dan diciptakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan kebijaksaan-Nya dan Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah mengurniakan Dajjal kuasa yang menakjubkan dan Dajjal akan dilepaskan kedunia nyata semasa penghujung akhir zaman (telah dilepaskan di zaman kehidupan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam).

Dajjal mempunyai dua misi utama iaitu misi umum dan misi spesifik. Misi umum ialah untuk menguji semua manusia iaitu menguji tahap keimanan umat Islam.

Mereka yang gagal dalam ujian Dajjal akan menuju ke dalam api neraka. Ujian Dajjal merupakan satu ujian yang sangat susah dan ia diberi perkhabaran oleh setiap Nabi dan Rasul sejak dari penciptaan Adam a.s lagi.

Fitnah Dajjal merupakan fitnah yang paling besar dalam sejarah peradaban manusia sejak dari zaman umat Nabi Adam a.s hingga zaman umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Misi spesifik Dajjal pula ialah untuk menyamar sebagai al-Masih (The Messiah) dalam usahanya untuk menyakin Bani Israel bahawa dialah al-Masih (The Messiah) iaitu 'penyelamat'. Di antara kemampuan Dajjal ialah:

Pertama: 

Segala kesenangan hidup akan ada bersama dengannya. Benda-benda beku akan mematuhinya – Sebelum kedatangan Dajjal, dunia Islam akan diuji dahulu oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan kemarau panjang selama 3 tahun berturut-turut.

Pada tahun pertama hujan akan kurang sepertiga dari biasa dan pada tahun kedua akan kurang 2/3 dari biasa dan tahun ketiga hujan tidak akan turun langsung.

Umat akan dilanda kebuluran dan kekeringan. Di saat itu Dajjal akan muncul membawa ujian.

Maka daerah mana yang percaya Dajjal itu Tuhan, ia akan berkata pada awan: Hujanlah kamu di daerah ini! Lalu hujan pun turunlah dan bumi menjadi subur.

Begitu juga ekonomi, perdagangan akan menjadi makmur dan stabil pada orang yang bersekutu dengan Dajjal.

Manakala penduduk yang tidak mahu bersukutu dengan Dajjal, mereka akan tetap berada dalam kebuluran dan kesusahan.

Dan ada diriwayatkan penyokong Dajjal akan memiliki segunung roti (makanan) sedangkan orang yang tidak percaya dengannya berada dalam kelaparan dan kebuluran.

Dalam hal ini, para sahabat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya:

"Jadi apa yang dimakan oleh orang Islam yang beriman pada hari itu wahai Rasulullah?” 

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab: “Mereka akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertaubat. Jadi zikir-zikir itu yang akan menggantikan makanan.” 

(Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Kedua:

Ada bersamanya seumpamanya Syurga dan Neraka. Diantara ujian Dajjal ialah kelihatan bersama dengannya seumpama syurga dan neraka, iaitu sungai dan api.

Dajjal akan menggunakan kedua-duanya ini untuk menguji iman orang Islam kerana hakikat yang sebenar adalah sebalik dari apa yang kelihatan.

Apa yang dikatakan Syurga itu sebenarnya Neraka dan apa yang dikatakannya Neraka itu adalah Syurga.

Secara analoginya kita lihat sekarang, syurga dunia seperti maksiat dan hiburan tanpa batasan, kemewahan, kenikmatan hidup, cintakan dunia dan pelbagai lagi adalah ibarat syurga.

Dan mereka yang terpengaruh dengannya akan berseronok dan puas dengan hiburan-hiburan tersebut seperti hidup di dalam syurga.

Juga keluarnya bermacam alat–alat canggih seperti komputer, handphone, mp3 player, video player dan lain-lain.

Menunjukkan semua ini ibarat syurga dunia, yang sebenarnya adalah jalan ke neraka jika kita terlampau leka dan terpesona dengannya.

Dan kehidupan yang tidak bermewah, tidak berhibur dan berseronok adalah ibarat berada dalam neraka dunia sekarang.

Sehinggakan mereka yang sudah biasa berseronok akan merasa boring dan tidak puas hati jika tidak dapat berhibur, berseronok dan menikmati kemewahan duniawi.

Sedangkan kehidupan yang seperti neraka dunia itu lah yang boleh membuka jalan ke syurga iaitu kehidupan yang serba sederhana, qana’ah dan zuhud dengan dunia.

Ketiga:

Kepantasan perjalanan dan negeri-negeri yang tidak dapat dimasukinya. Kepantasan yang dimaksudkan ini tidak ada pada kenderaan orang dahulu.

Kalau hari ini maka bolehlah kita mengatakan kepantasan itu seperti kepantasan jet-jet tempur yang digunakan oleh tentera udara atau lebih pantas lagi daripada kenderaan tersebut sehinggakan beribu-ribu kilometer dapat ditempuh dalam satu jam.

Dalam sebuah hadis..

"… Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana kepantasan perjalanannya di atas muka bumi ini? 

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab, Kepantasan perjalanannya adalah seperti kepantasan “Al Ghaist” (hujan atau awan) yang dipukul oleh angin yang kencang.” 

(Hadis Riwayat Muslim)

Dan ada lagi kenderaan yang lebih pantas dari jet, yang dapat bergerak sepantas cahaya iaitu piring terbang.

Mengikut gambar-gambar yang dapat dirakam oleh NASA dan bukti-bukti dari banyak pihak, memang mereka dapat bergerak selaju cahaya dan menghilang dengan sekelip mata.

Namun demikian, Dajjal tetap tidak dapat memasuki dua Bandar suci umat Islam iaitu Makkah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawwarah.

Keempat:

Bantuan syaitan untuk memperkukuhkan kedudukannya. Syaitan juga akan bertungkus-lumus membantu Dajjal kerana bagi syaitan, inilah masa yang terbaik untuk menyesatkan lebih ramai lagi anak cucu Nabi Adam a.s.

Syaitan dari jin dan juga manusia akan berusaha membantunya, kerana mereka ingin mewujudkan satu pemerintahan di muka bumi ini. Iaitu pemerintahan sebuah kerajaan yang akan diperintah oleh Lucifer (IBLIS).

Dan gerakan yang mewakili syaitan-syaitan dari kalangan manusia ini dikenali sebagai gerakan Illuminati yang pecahan-pecahannya terdiri dari banyak kumpulan seperti Skull and Bones, Freemasons, Bohemian Grove, The Bilderberg Group, The Trilateral Commission, The Council on Foreign Relations dan beberapa lagi pertubuhan-pertubuhan rahsia.





Untuk memahami Dajjal dan kapasitinya sebagai al Masih, kita hendaklah memahami terlebih dahulu siapakah itu sebenar al Masih.

Selepas Bani Israel telah tinggal dan menghuni di Tanah Suci dan selepas Nabi Daud a.s. menubuhkan Negara Israel (Nabi Daud merupakan seorang Muslim dan negara Israel ini adalah Islamik) juga selepas Nabi Sulaiman a.s. mengangkat Negara ini sehingga menjadi sebuah negara yang terunggul yang pernah disaksikan dalam sejarah dan juga selepas Bani Israel melalui Zaman Kegemilangan atau Zaman Keemasan.

Namun Bani Israel kemudiannya telah melakukan kemungkaran iaitu melanggar perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan melakukan banyak dosa terhadap-Nya. Lantas, Allah Subhanahu Wa Ta'ala menghalau mereka keluar dari Tanah Suci. Surah Israa' (17) dalam al Quran menceritakan tentang ini:

وَقَضَيْنَا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوّاً كَبِيراً 
Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar". (Surah Al Israa' : 4)


Jelas bahawa DUA KALI Bani Israel telah berbuat kerosakan. Mereka telah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala untuk mewarisi Tanah Suci. Justeru Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah menghantar tentera Babylon untuk memusnahkan Negara Israel dan membawa Bani Israel kepada perhambaan di Babylon (kini Iraq).

Jadi, Zaman Kegemilangan (I) telah berakhir dan Bani Israel telah meratapi kesedihan di Sungai Babylon.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah mengutuskan para Nabi dan Rasul dan di kalangan para Nabi itu bernama Nabi Daniel yang merupakan tokoh yang amat penting. 

Apabila Nabi Daniel diutuskan kepada Bani Israel di Babylon, nabi ini telah menyampaikan janji daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada Bani Israel bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan mengutuskan seorang Nabi yang istimewa untuk mereka kerana Nabi ini akan mengembalikan semula Zaman Kegemilangan (II) (Zaman Kegemilangan I sebelum ini adalah semasa Pemerintahan Nabi Sulaiman a.s yang pernah memerintah Dunia).

Dan apabila Nabi ini diutuskan, Fungsi Nabi ini adalah untuk mengembalikan Zaman Kegemilangan dan seterusnya memerintah Dunia dari Jerusalem.

Nabi yang istimewa ini yang akan diutuskan untuk Bani Israel ialah al-Massih. Di dalam usaha untuk mengembalikan Zaman Kegemilangan (II) Bani Israel, terdapat 4 implikasi untuk membolehkan janji itu tercapai ialah:

1) Beliau hendaklah memerdekakan Tanah Suci daripada pemerintahan bukan Yahudi kepada pemerintahan Yahudi.

2) Beliau haruslah membawa Bani Israel kembali ke Tanah Suci.

3) Beliau hendaklah membangunkan kembali Negara Israel.

4) Negara Israel itu mestilah berkembang menjadi kuasa pemerintahan dunia supaya al-Massih boleh memerintah dunia dari Jerusalem.

Hanya dengan itu sajalah Zaman Kegemilangan (II) seperti era Nabi Sulaiman a.s akan berulang. Allah Subhanahu Wa Ta'alatelah menunaikan janjiNya dengan menghantar al-Massih iaitu Nabi Isa a.s sebagai utusan-Nya, akan tetapi, Bani Israel telah menolaknya.

Terdapat sesetengah Yahudi yang menerimanya dan ada juga yang menentangnya. Punca penolakan Isa a.s sebagai al-Massih adalah kerana Bani Israel menganggap bahawa Isa a.s adalah anak luar nikah (wa'iyazubillah) kerana kononnya ibu Nabi Isa a.s, Maryam melahirkannya tanpa suami. Bani Israel telah menolaknya kerana mendakwa bahawa kononnya anak luar nikah tidak boleh menjadi al-Massih.

Dan apabila mereka melihat kononnya Isa a.s mati disalib, segala-galanya telah pasti bahawa walaupun beliau sendiri mendakwa diri beliau sebagai al-Masih tetapi Rabbi Yahudi telah menolaknya, Bani Israel percaya bahawa beliau (Isa a.s) bukanlah al-Masih kerana, 

Pertama, 

Pada pandangan mereka Nabi Isa a.s telah mati sedangkan Tanah Suci belum dimerdekakan lagi di bawah pemerintahan empayar Rom. 

Kedua, 

Pada pandangan mereka Nabi Isa a.s telah mati sedangkan Negara Israel belum dibangunkan semula. 

Ketiga,

Pada pandangan mereka Nabi Isa a.s telah mati sedangkan Negara Israel masih belum menjadi kuasa pemerintahan dunia dari Jerusalem.


Jadi, oleh sebab itulah mereka menanti-nantikan kedatangan al-Massih yang sebenar sedangkan apa yang diketahui umum bahawa Nabi Isa a.s adalah al-Massih yang sebenar. Nabi Isa a.s sebenar tidak disalib seperti apa yang mereka dakwa kerana Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman di dalam al-Quran bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala memperlihatkan kepada mereka yang beliau telah disalib dan Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengangkat Nabi Isa a.s kepada-Nya membuktikan bahawa Nabi Isa a.s masih hidup dan belum mati seperti yang didakwa Bani Israel.


وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا الْمَسِيحَ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ اللّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَـكِن شُبِّهَ لَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُواْ فِيهِ لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ مَا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِلاَّ اتِّبَاعَ الظَّنِّ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِيناً 

dan kerana ucapan mereka : "Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, 'Isa putra Maryam, Rasul Allah", padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan 'Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) 'Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah 'Isa. (Surah An Nisaa' : 157)

Buktinya, Nabi Isa a.s akan kembali ke dunia suatu hari nanti untuk merasai al-Maut yang tidak pernah dirasainya.

Memandangkan mereka masih menanti-nanti kedatangan al-Masih, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah memaklumkan kepada kita bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan menghantar suatu makhluk (manusia luar biasa) pada akhir zaman nanti yang akan menyamar sebagai al-Masih dan menyakinkan kepada kaum Yahudi bahawa dia akan mengembalikan Zaman Kegemilangan (III) kepada Bani Israel.

Walaubagaimanapun, mereka (Bani Israel) telah ditipu oleh makhluk tersebut kerana dia bukan al-Masih yang sebenar. Makhluk itu sebenarnya adalah Dajjal.

Dari Hudzaifah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Dajjal ialah orang yang 'buta' matanya sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya serta dia mempunyai Syurga (sungai) dan Neraka (api). Nerakanya itu merupakan Syurga dan Syurganya pula ialah Neraka

(Hadis Riwayat Muslim)

Setiap rasul utusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah memberi amaran kepada kaumnya tentang Dajjal. Tapi tiada seorang Rasul yang pernah berbicara tentang Dajjal secara fizikal. Ia 'disimpan' sehinggalah kepada Rasul yang terakhir untuk memberitahu rupa dan fizikal Dajjal.

Dajjal seorang lelaki yang kelihatannya masih muda, berbadan besar dan tegap, agak kemerah-merahan, rambutnya kerinting dan tebal. Kelihatan dari belakang seolah-olah dahan kayu yang rimbun.

Mata kanannya 'buta' kelihatan seperti anggur yang terbonjol keluar. Apakah kepentingan tentang lelaki bermata satu ini?

Lelaki bermata satu boleh melakukan perkara yang luar biasa. Dajjal mempunyai perkataan kafir ditulis diantara matanya dan dahinya.

Setiap mukmin akan mampu membacanya samada mereka boleh membaca dan menulis atau mereka tidak boleh membaca dan menulis, mereka pasti dapat membacanya.

Sekarang sudah jelas, mereka bukannya membaca dengan mata fizikal kita. Adakah kita mempunyai mata lain selain mata fizikal dikepala..?

Apabila kalian mampu menjawab soalan ini maka kalian akan mampu memahami asas strategi Dajjal. Dajjal melihat dengan satu mata, menandakan bahawa Dajjal hanya mempunyai penglihatan luaran.

Oleh itu, apa yang kita tahu hanya datang dari apa yang kita lihat. Dajjal buta mata kanannya sebenarnya menandakan bahawa Dajjal 'buta hati'. al-Quran pernah menyatakan bahawa:

"apabila hati seseorang yang beriman dan Allah akan menitipkan cahaya kepadanya, hati itu mampu melihat dan mendengar"

Apabila Dajjal melaksana misinya (4 Peringkat yang saya nyatakan tadi), tugasnya ialah membawa manusia kepada penyakit buta hati.

Mereka hanya melihat dengan penglihatan luaran. Dajjal datang dengan sungai dan api, tetapi sungainya adalah apinya dan apinya adalah 'air sungai yang sejuk'.

Barangsiapa yang 'jatuh' ke dalam sungainya, akan bertambah dosanya dan barangsiapa yang 'jatuh' ke dalam apinya, akan dilepaskan dari beban dosa.

Dengan kata lain, zaman Dajjal zaman di mana penampilan dan realiti adalah berlainan sama sekali antara satu sama lain.

Sekiranya penilaian dibuat berdasarkan kepada pemerhatian luaran, tetapi realiti dalamannya adalah sesuatu yang berlainan.

Jadinya penilaian yang dibuat itu boleh jadi salah. Berdasarkan apa yang kalian lihat melalui penampilannya, pada zaman Dajjal, kalian akan tersilap dan tertipu kerana realiti adalah bertentangan dengan penampilan.

Tetapi pada akhir zaman ini lah, golongan yang mampu 'menembusi' penampilan luaran sesuatu perkara, untuk mengenalpasti realiti sebenarnya dan dengan itu mereka tidak akan tertipu adalah mereka yang hatinya berada dalam keadaan itu.

Perumpamaannya, samada berjanggut, berserban, mungkin berada di masjid 5 kali sehari, tetapi mereka juga mungkin tidak mempunyai apa-apa langsung di dalam hatinya, jadinya dia juga tidak mampu melihat.

Tetapi apabila hati kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, apabila hati berserah kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan apabila hati berkata 'Aku hidup kerana-Mu! Aku mati kerana-Mu. (al-Quran, 6:162)' ... maka Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan menitipkan Nur kedalam hati itu. Dan apabila orang itu melihat dengan Nur.

قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ 

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. (Surah Al An'aam : 162)

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Bertaqwalah mengikut firasat mukmin yang sejati kerana apabila dia melihat, dia melihat dengan Nur Allah"
(Hadis Riwayat at Tirmidzi)

Jadinya, ini adalah strategi Dajjal untuk membawa manusia kepada penyakit buta hati. Jadinya, mereka akan tertipu dan penilaian yang mereka buat juga salah. Mereka diuji dan mereka gagal dalam ujian Dajjal.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Golongan terakhir yang akan keluar kepada Dajjal adalah wanita. Dan lelaki terpaksa pulang ke rumah dan perlu 'mengikat' isteri, adik-beradik dan anak mereka untuk menyelamatkan dan melindungi mereka dari Dajjal."

Sumber

Post a Comment

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget