Perkongsian ilmu dan informasi yang berkaitan dengan Islam dan akhir zaman berdasarkan akidah ahlus sunnah wal jamaah.

Analisis Hadis Yang Berkaitan Dengan Imam Mahdi

ANALISIS HADITH AL-MAHDI
bicaramuslim.com

A. HADITH-HADITH TENTANG AL MAHDI 

Terdapat sangat banyak hadith yang menyebut tentang Imam Mahdi sehingga para ulamak menganggapnya sebagai salah satu daripada hadith yang sampai ke peringkat “tawatur ma’nawi”. Ada diantara tokoh hadith menyebutkan bahawa bilangan hadith yang menyebutkan tentang Mahdi itu melebihi lima puluh hadith, sementara yang lain pula ada mengatakan melebihi sembilan puluh hadith selain daripada atsar para sahabat. 

Di antara sahabat dan tabi’in yang dipastikan telah meriwayatkan hadith tentang Mahdi ini ialah: 

(1) Sayyidina Uthman bin Affan r.a. 
(2) Sayyidina Ali r.a. 
(3) Abdullah bin Abbas r.a. 
(4) Abdullah bin Umar r.a. 
(5) Talhah bin Ubaidillah r.a. 
(6) Abdullah bin Mas’ud r.a. 
(7) Abu Hurairah r.a. 
(8) Abu Sa’id Al Khudri r.a. 
(9) Anas bin Malik r.a. 
(10) Ummu Habibah r.a. 
(11) Ummu Salamah r.a. 
(12) Tsauban r.a. 
(13) Abdullah bin Al Harits bin Jaz’in r.a. 
(14) Jabir bin Abdullah r.a. 
(15) Abdur Rahman bin ‘Auf r.a. 
(16) Huzaifah bin Al Yaman r.a. 
(17) Abu Umamah r.a. 
(18) ‘Auf bin Malik r.a. 
(19) Qurrah Al Muzany r.a. 
(20) Ammar bin Syu’aib r.a. dari ayahnya daripada datuknya. 
(21) Ali Al Hilaly r.a. 
(22) Sa’id bin Musayyab r.a. 
(23) Qatadah r.a. 
(24) Syahr bin Hausyab r.a. dan lain-lain lagi. 

Hadith-hadith yang diriwayatkan ada yang bertaraf sahih, ada hasan dan ada yang dha’if ; (lihat At Ta’liqu As Shahih ‘Ala Misykat Al Mashaabih – j.6 ms. 197 – karangan Maulana Muhammad Idris Khandahlawi). 

Sementara tokoh-tokoh yang meriwayatkan hadith-hadith tentang Al Mahdi secara terang dan jelas dengan menyebutkan nama atau gelaran “Al Mahdi” di dalam kitab mereka pula ialah seperti berikut: 
(1) Imam Abu Daud w. 275h 
(2) Imam Tirmizi w. 279h 
(3) Ibnu Majah w. 273h 
(4) Abdur Razzak bin Hammam bin Nafi’ w. 211h 
(5) Haakim w. 405h 
(6) Imam Ahmad w. 241h 
(7) Imam Abu Bakr Al Bazzar w. 292h 
(8) Imam Abu Bakr bin Abi Syaibah w. 235h 
(9) Abul Qassim At Tabaraani w. 360h 
(10) Abu Ya’la Al Maushili w. 307h dan lain-lain. 
(Maulana Muhammad Badri Alam Mirthi – Tarjuman As Sunnah j.4 ms. 337) 

Di bawah akan diperturunkan beberapa hadith yang diriwayatkan oleh mereka yang tersebut itu: 

1. Diriwayat daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bagaimana agaknya kamu bila Isa Ibnu Maryam turun di antaramu dan pada ketika itu imam kamu adalah salah seorang daripada kamu”. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) 

2. Daripada Jaabir katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan ada di akhir ummatKu seorang khalifah yang mengaut harta dengan banyak (untuk diberikan kepada orang ramai) dan tidak membilangnya sama sekali”. (Hadith Riwayat Muslim) 

3. Riwayat Ibnu Mas’ud secara marfu’ bahawa, “Sekiranya tidak tinggal kecuali hanya sehari sahaja daripada umur dunia ini nescaya Allah s.w.t. memanjangkan hari itu untuk menghantarkan padanya seorang lelaki dariku (dari ahli keluargaku) yang mana namanya sama dengan namaKu dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku. Ia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya ia dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman”. (Hadith Riwayat Abu Daud dan Tirmizi) 

4. Ummu Salamah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Al Mahdi itu adalah daripada ahli keluargaku dari anak cucu Fatimah”. (Hadith Riwayat Abu Daud) 

5. Abu Sa’id Al Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mahdi itu adalah daripadaku, luas dahinya, tinggi dan halus hidungnya, dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana ia sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Ia akan berkuasa selama tujuh tahun”. (Hadith Riwayat Tirmizi dan Abu Daud) 

6. Sayyidina Ali pernah memandang kepada anaknya seraya berkata: “Sesungguhnya anakku ini adalah penghulu sebagaimana telah dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya (Al Hasan)”. “Daripada keturunannya akan lahir seorang yang dinamakan dengan nama Nabi kita. Ia menyerupai Baginda pada budi pekertinya dan tidak menyerupainya pada rupa parasnya”. (Hadith Riwayat Abu Daud) 

7. Abu Daud meriwayatkan daripada Ali r.a. daripada Nabi s.a.w. sabda Baginda: “Sekiranya hanya tinggal sehari sahaja dari umur dunia ini pasti Allah akan menghantar seorang daripada ahli rumahku, ia akan memenuhi dunia ini dengan keadilan sebagaimana dunia sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman”. (Hadith Riwayat Abu Daud – Kitab Al Mahdi j.2 ms. 232) 

8. Abu Daud meriwayatkan daripada Ummi Salamah r.a. isteri Nabi s.a.w. daripada Nabi s.a.w. sabda Baginda: “Akan berlaku perselisihan ketika matinya seorang khalifah, ketika itu akan keluarlah seorang penduduk Madinah lari ke Makkah lalu ia didatangi oleh penduduk Makkah. Mereka mengeluarkannya dengan memaksa lalu berbai’ah kepadanya (untuk menentang) satu pasukan tentera daripada Syam. Tentera itu ditelan oleh bumi di satu kawasan padang pasir antara Makkah dan Madinah. Bila perkara itu dilihat oleh orang maka ia didatangi oleh ‘Abdal Syam dan beberapa kumpulan dari Iraq untuk berbai’ah dengannya. Kemudian muncul seorang pemuda daripada Quraisy. Bapa saudara sebelah ibunya daripada qabilah Kalb yang akan menghantar tentera untuk menentang orang itu (Al Mahdi) tetapi tenteranya (Al Mahdi) dapat mengalahkan mereka. Kerugian bagi orang yang tidak menyaksikan harta ghanimah qabilah Kalb. Dia (Al Mahdi) akan membahagikan harta ghanimah itu dan beramal mengikut sunnah Nabi mereka di kalangan manusia. Ketika itu Islam tersebar dengan luas. Dia akan memerintah selama tujuh tahun kemudian wafat dan jenazahnya disembahyangkan oleh orang-orang Islam. Abu Daud berkata: “Setengah perawi meriwayatkan daripada Hisyam sembilan tahun, setengah perawi pula meriwayatkan tujuh tahun”. (Hadith Abu Daud j.2 ms.232) 

9. Tirmizi meriwayatkan daripada Abi Sa’id Al Khudri katanya: “Kami bimbang akan berlaku sesuatu fitnah sesudah kewafatan Nabi kami, kerana itu kami bertanya Nabi s.a.w., sebagai menjawab Nabi s.a.w. berkata: “Sesungguhnya di kalangan ummatKu ada Al Mahdi. Ia akan muncul, dia akan hidup selama lima atau tujuh atau sembilan”. Zaidlah yang ragu. Berkata Abu Sa’id kami bertanya: “Apakah yang dimaksudkan lima, tujuh atau sembilan itu? “Rasulullah s.a.w. menjawab, “Tahun”. Kemudian Rasulullah s.a.w. menceritakan: “Orang datang kepadanya seraya berkata: “Wahai Mahdi! Berikan kepada saya”. Maka dapat dia mengaut harta dengan tangan dan diisi ke dalam kain orang itu sebanyak yang termampu dibawanya”. (Hadith Tirmizi j.2 ms.45 Bab Kemunculan Mahdi) 

10. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Mas’ud katanya: “Ketika kami berada di samping Rasulullah s.a.w. tiba-tiba dalam beberapa orang anak muda dari Bani Hasyim. Bila mereka dilihat oleh Rasulullah s.a.w. berlinanglah air matanya dan berubahlah air mukanya langsung kami bertanya, “Kami adalah ahli keluarga yang Allah s.w.t. pilih untuk kami akhirat melebihi dunia. Sesungguhnya ahli keluargaku nanti akan menghadapi berbagai-bagai ujian, pengusiran dan penghalauan sehingga datang dari pihak Timur bersama mereka bendera-bendera hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikan maka mereka berperang sehingga mendapat kemenangan lalu diberikan kepada mereka apa yang dahulu mereka minta tetapi mereka tidak mahu pula sampailah mereka berikan bendera itu kepada seorang pemuda dari keluargaku. Ia akan memenuhi dunia dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana mereka (penduduk dunia) memenuhinya dengan kezaliman. Sesiapa yang sempat bertemu dengan mereka maka hendaklah ia datang kepada kumpulan itu walaupun dalam keadaan mengengsot di atas salji.” (Sunan Ibnu Majah ms 299) 

11. Ibnu Majah juga meriwayatkan daripada Sayyidina Ali r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mahdi itu adalah dari ahli keluargaku. Allah s.w.t. akan melayakkannya hanya dalam satu malam.” (Sunan Ibnu Majah) Hadith riwayat Ibnu Majah ini juga dikemukakan oleh Tarmizi, Abu Daud dan Haakim. 

12. Haakim meriwayatkan dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Nanti akan keluar seorang yang dipanggil “Sufyani” dari tengah Damsyik. Kebanyakan yang mengikut mereka ialah dari qabilah Kalb. Dia akan membunuh orang sehingga membelah perut perempuan dan membunuh kanak-kanak. Maka berhimpunlah qabilah Qais untuk menentang mereka. Qabilah Qais dikalahkan sehingga tidak tinggal seorang pun dari mereka. Ketika itu keluar seorang dari ahli rumahku di Harrah. Berita kemunculannya akan sampai kepada Sufyani maka Sufyani dan bala tenteranya pergi untuk menyerangnya. Di satu padang pasir mereka ditelan oleh bumi dan tidak terselamat seorang pun dari mereka kecuali seorang yang menceritakan tentang mereka.” (Ini hadith sahih mengikut syarat Bukhari dan Muslim tetapi mereka berdua tidak mengemukakan di dalam kitab masing-masing) (Mustadrak Hakim j.4 ms 250) 

13. Hakim meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a. katanya, “Akan berlaku fitnah yang mana daripada fitnah itulah lahir seorang manusia sebagaimana lahirnya emas di lombong. Oleh itu janganlah kamu memaki penduduk Syam. Tetapi makilah orang-orang yang zalim dari mereka kerana di kalangan mereka ada Abdal. Allah akan melepaskan hujan ke atas mereka sehingga menenggelamkan mereka dan mereka menjadi lemah sehingga mereka dapat dikalahkan oleh musang-musang. Ketika itu Allah akan menghantarkan seorang dari keluarga Rasulullah s.a.w. bersama 12,000 tenteranya jika mereka sedikit dan 15,000 jika mereka banyak. Tanda atau alamat mereka ialah “amt-amt”. Mereka akan berperang di bawah 3 panji-panji dan dilawan oleh tentera-tentera di bawah 7 panji-panji. Setiap panglima yang memimpin tentera di bawah panji-panji itu tamakkan kerajaan. Mereka akan berperang kemudian akan dikalahkan. Kemudian Allah akan melahirkan seorang dari keturunan Bani Hasyim. Dengan itu Allah mengembalikan kemesraan kehidupan penuh nikmat kepada manusia. Mereka terus berada dalam keadaan itu sampailah keluar dajjal.” (Mustadrak Al-Haakim j.4 ms 553). Di dalam riwayat ini walaupun tidak disebutkan nama dengan jelas tetapi dari riwayat Sayyidina Ali r.a. juga dikemukakan oleh Abu Daud (j.2 ms.232) dan Tirmizi (j.2 ms.16) ada disebutkan nama atau gelaran orang yang diutuskan oleh Allah s.w.t. itu dengan jelas. 

14. Diriwayatkan oleh Muhammad bin Al Hanafiyyah katanya, “Kami pernah berada di samping Ali r.a. lalu ada seorang bertanya beliau tentang Al Mahdi. Maka Sayyidina Ali r.a. berkata, “Jauh.” Kemudian dia melipat jarinya 7 dan berkata, “dia akan keluar di akhir zaman ketika mana seorang yang berkata, “Allah! Allah!” dibunuh. Allah menghimpunkan satu golongan yang bertompokan seperti awan. Allah memesrakan di antara hati mereka. Mereka tidak takut dengan sesiapa dan tidak gembira dengan sesiapa pun. Dia masuk menemui mereka seramai bilangan ahli Badr. Orang-orang dahulu tidak mendahului mereka dan orang-orang kemudian tidak mendapat kedudukan mereka. Bilangan mereka juga seramai pengikut Thalut yang menyeberangi sungai bersamanya.” (Mustadrak Al-Haakim j.4 ms. 554) 

15. Daripada Abu Sa’id Al Khudri katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Qiamat tidak akan berlaku selagi bumi tidak dipenuhi dengan kekejaman dan kederhakaan. Kemudian keluar dari ahli rumahku orang yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya ia di penuhi dengan kezaliman dan kederhakaan.” (Mustadrak Haakim j.4 ms.557) Riwayat yang sama tersebut dalam Sunan Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah. Walaupun nama atau gelaran tidak tersebut dengan jelas namun ulamak hadith memasukkan hadith ini di bawah Bab Al Mahdi. Para pensyarah hadith juga mengatakan yang dimaksudkan dengan “orang itu” dalam hadith itu ialah “Al Mahdi.” 

16. Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al Khudri katanya, “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Al Mahdi itu adalah dari kalangan kami Ahlul Bait”. Hidungnya mancung bongkok, dahinya luas. Dia akan memenuhi dunia dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana dunia sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Dia hidup selama (sambil) Baginda Rasulullah membuka jari sebelah kiri dan dua jari sebelah kanan iaitu jari telunjuk dan jari tengah dan melipatkan jari daripadanya.” (Mustadrak Haakim j.4 ms.557) 

17. Daripada Abu Sa’id Al Khudri katanya Rasululah s.a.w. bersabda, “Bala akan menimpa ummat ini sehingga seseorang tidak akan mendapati satu pun tempat perlindungan daripada kezaliman. Ketika itu Allah s.w.t. akan menghantar seseorang dari keturunanku dari ahli rumahku. Allah s.w.t. akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelum itu bumi telah dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Penghuni bumi dan penghuni langit senang dengannya. Langit tidak akan menahan titisannya sedikitpun melainkan akan dicurahnya melimpah ruah. Bumi tidak akan menahan sedikitpun airnya melainkan akan dikeluarkannya sehingga orang-orang yang hidup berkata, “Kalaulah orang-orang yang telah mati ada bersama mereka! Dia akan hidup selama 7 tahun atau 8 atau 9 tahun.” (Musannaf Abdul Razak j.11 ms.372) 

18. Diriwayatkan daripada Ibn Sirin daripada Abi Al Jalad katanya, “Fitnah akan berlaku kemudian akan disusuli oleh fitnah yang lain pula. Fitnah yang kemudian lebih hebat daripada sebelumnya, bagaikan cemeti disusuli mata pedang. Kemudian berlaku pula satu fitnah yang lain. Ketika itu tidak ada satu pun perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t. melainkan dihalalkan. Kemudian manusia akan berhimpun pada orang yang paling baik di antara mereka iaitu seorang yang tandanya akan datang kepadanya dengan mudah (dengan sendiri) ketika mana dia berada di rumahnya.” Perawi-perawi hadith ini semuanya tsiqah. (Musannnaf Abdul Razzak j.11 ms.372) 

19. Daripada Jaabir bin Abdillah katanya, “Ada seorang imam akan memimpim (di akhir zaman nanti). Dia tidak mengira (membilang) wang yang diberikan kepada orang ramai tetapi mengaut (wang untuk diberikan kepada mereka).” (Ibid j.11 ms.372) Hadith ini sahih. Maulana Habiburrahman A’zami di dalam hasyiahnya menulis bahawa hadith ini dikeluarkan oleh Al Bazzar dan Muslim daripada Abi Sa’id dan Jabir. Walaupun hadith ini mauquf tetapi ulamak hadith sepakat mengatakan sesuatu yang tidak dapat ditanggap dengan qias diceritakan oleh sahabat adalah menyamai hadith marfu’ atau dikira sebagai hadith marfu’ apalagi jika dilihat bahawa hadith ini ada diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al Khudri secara marfu’ juga kendatipun tidak disebutkan nama atau gelaran di dalam hadith tersebut tetapi tindakan Abdul Razzak, Muslim dan lain-lain memasukkan hadith ini dalam Bab Kemunculan Mahdi maka ia menunjukkan bahawa lafaz “Imam” yang dimaksudkan didalam hadith ini ialah Al Mahdi. 

20. Diriwayatkan daripada Ali bin Abdillah bin Abbas katanya, “Al Mahdi tidak akan muncul selagi tidak terbit sesuatu tanda bersama matahari.” (Ibid j.11 ms.373) 21. Abu Sa’id Al Khudri berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Terimalah berita gembira denngan kedatangan Al Mahdi. Ia adalah dari Quraisy dari anak cucuku. Dia keluar ketika mana perselisihan di kalangan manusia berleluasa dan banyak gempa bumi berlaku. Dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana ia sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Penghuni bumi dan langit senang dengannya. Dia akan membahagikan-bahagikan harta dengan adil dan sama rata. Dia akan memenuhi hati manusia dengan rasa puas hati dan akan mengisi mereka dengan keadilan sehingga dia menyuruh orang yang menyeru, menyerukan, “Setiap yang ada hajat datanglah kepadaku.” Maka tidak ada yang datang melainkan seorang sahaja. Orang itu pun pergi meminta (sesuatu) darinya. Dia lantas berkata, “Pergilah kepada penjaga gedung untuk diberikan olehnya kepadamu.” Orang itu pun pergilah kepada penjaga gedung dan berkata, “Saya dihantar oleh Al Mahdi kepadamu untuk diberikan harta.” Penjaga gedung itu pun berkata, “Kautlah!” Orang itu pun terus mengaut tetapi tidak berdaya membawanya langsung ia meletakkan dan membawa sekadar yang termampu olehnya. Dia pun keluar. Setelah keluar dia menyesal dan berkata, “Akulah orang yang paling tamak dari ummat Muhammad ini. Semua orang dipanggil untuk mengambil harta tetapi tiada sesiapapun selainku mengambilnya. Maka dia mahu mengembalikannya kepada penjaga gedung harta yang diambilnya. Penjaga gedung itu pun berkata, “ Bila kami memberikan sesuatu kami tidak akan mengambilnya lagi.” Dia (Al Mahdi) hidup dalam keadaan ini selama 7 atau 8 atau 9 tahun dan tidak ada kelebihan lagi kehidupan sesudahnya.” (Mudtakhab Kanzul Ummal di tepi Musnad Imam Ahmad j.6 ms.29) 

22. Daripada Tsauban katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila kamu lihat panji-panji hitam dari pihak Khurasan maka pergilah kepadanya kerana di situ ada Khalifah Allah Al Mahdi.” (Ibid j.5 ms.177) 

23. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesudahku ada beberapa orang khalifah dan sesudah beberapa orang khalifah itu akan ada beberapa orang Amir, sesudah Amir itu akan ada beberapa orang Raja dan sesudah beberapa orang Raja itu akan ada beberapa orang Diktator. Kemudian akan keluar seorang dari ahli rumahku. Ia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana ia sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman. Selepasnya akan memerintah seorang Qahthaaniy maka demi Tuhan yang mengutuskan daku dengan sebenar! Tidaklah ia kurang daripadanya (Al Mahdi).” (Ibid j.6 ms.300) 

24. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seorang lelaki akan dibai’ahkan di antara Rukun dan Makam. Baitullah ini tidak akan dihalakan oleh sesiapa pun untuk berperang padanya. Bila manusia menganggap halal berperang padanya, maka semua akan binasa. Kemudian akan datang orang Habsyah, mereka semua akan merobohkan Baitullah ini sehingga tidak dapat dibangunkan lagi buat selama-lamanya. Merekalah yang mengeluarkan gedungnya.” (Ibid j.6 ms.32) 

25. Daripada Ali r.a. katanya, “Al Mahdi tidak akan muncul selagi sebahagian kamu tidak meludah ke muka sebahagian yang lain.” (Ibid j.6 ms.33) 

26. Daripada Ali r.a katanya, “Bila keluar tentera Sufyaani di Kufah maka ia akan dihantar untuk mencari penduduk Khurasan dan orang-orang Khurasan yang akan keluar mencari Al Mahdi. Mereka akan bertemu dengan kumpulan yang menjulang panji-panji hitam dan bertemu dengan Al Hasyimi. Pasukan tentera itu akan dikepalai oleh Syu’ib bin Soleh. Peperangan di antara Hasyimi dan Sufyaani akan berlaku di pintu Istakhar dengan hebat sekali tetapi akhirnya kumpulan bendera hitam dapat mengalahkan tentera Sufyaani. Tentera Sufyaani akan cabut lari. Pada ketika itu ramai orang yang mencita-citakan Al Mahdi dan mereka mencarinya.” (Ibid j.6 ms33) 

27. Daripada Ali r.a. katanya, “Al Mahdi itu adalah seorang pemuda Quraisy yang berkulit putih kemerahan dan bertubuh kemas.” (Ibid j.6 ms.24) 28. Daripada Ali r.a katanya, “Akan dihantar tentera ke Madinah. Mereka akan menangkap keluarga Nabi s.a.w. dan akan dibunuh ramai daripada lelaki dan perempuan Bani Hasyim. Ketika itu Al Mahdi dan Mubayyidh akan lari dari Madinah dan Mekah.” (Ibid j.6 ms.33) 

29. Imam Ahmad, Tirmizi dan Nu’aim bin Hammad menukilkan dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Akan keluar daripada Khurasan panji-panji hitam. Tidak ada satu apa pun akan dapat menahannya sampailah panji-panji itu dipacak diatas Ilya’.” (Al Hawi Li Al Fatawi j.2 ms.60) 

30. At Tabrani menukilkan di dalam Mu’jam Al Ausath daripada Ibnu Umar bahawa Nabi s.a.w. pernah memegang tangan Ali r.a. seraya berkata, “Akan keluar dari sulbi dia ini (dari keturunannya) seorang pemuda yang memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan. Bila kamu lihat keadaan itu hendaklah kamu ikuti pemuda At Tamimi. Dia akan datang dari Timur dan dialah yang memegang bendera Al Mahdi.” (Ibid j.2 ms.62) 

31. Abu Nua’im meriwayatkan daripada Jaabir katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Isa anak Maryam akan turun. Maka berkatalah pemimpin mereka, Al Mahdi, “Silalah menjadi imam sembahyang untuk kami!” tetapi Nabi Isa berkata, “Sesungguhnya sebahagian kamu adalah pemimpin kepada sebahagian yang lain (Baginda menyatakan begitu sebagai menyatakan penghormatan Allah kepada ummat ini)”. (Ibid j.2 ms.64) 

32. Ibn Majah, Ar Ruyani, Ibn Khuzaimah, Abu ‘Awaanah, Haakim dan Abu Nua’im meriwayatkan daripada Abi Umamah katanya, “Pernah Rasulullah s.a.w. berucap di hadapan kami. Baginda menyebutkan dajjal dan juga bahawa Madinah akan menolak kekotoran daripadanya sebagaimana penyembur api menolak kotoran daripada besi, hari itu dipanggil hari pembersihan. Ummu Syarik bertanya “Di manakah oramg-orang Arab pada masa itu ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Mereka pada masa itu sedikit dan Imam mereka ialah Al Mahdi, seorang lelaki yang soleh. Sedang Imam mereka tampil ke hadapan untuk menjadi Imam sembahyang Subuh tiba-tiba turun kepada mereka Isa Ibn Maryam pada waktu subuh itu. Imam itu pun undur kebelakang supaya Isa tampil ke hadapan (untuk menjadi imam). Maka Isa pun meletakkan tangannya diantara dua belikat Imam itu kemudian berkata kepadanya, “Pergilah ke hadapan dan imamkanlah sembahyang kerana iqamat tadi untukmu. Maka Imam mereka itulah yang menjadi imam sembahyang kepada mereka”. (Ibid j.2 ms.65) 

33. Daraqutni menukilkan dalam sunannya daripada Muhammad bin Ali katanya, “Sesungguhnya Mahdi kita itu mempunyai dua tanda yang tidak pernah terjadi semenjak Allah s.w.t menjadikan langit dan bumi. Bulan gerhana pada malam pertama bulan Ramadhan kemudian matahari pula gerhana pada pertengahan bulan Ramadhan itu. Kedua-dua tanda ini tidak pernah berlaku semenjak Allah s.w.t. menjadikan langit dan bumi”. (Sunan Ad Daraqutni j.2 ms.65) 

34. Abu Nua’im meriwayatkan dari Abi Umamah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Di antara kamu dan orang-orang Rom akan berlaku 4 kali perdamaian. Pada kali keempatnya berlaku di tangan salah seorang daripada keluarga Hiraqlu. Perjanjian itu berterusan selama 7 tahun”. Ada seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah! Siapakah Imam orang ramai (orang Islam) pada hari itu?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Al Mahdi daripada anak cucuku. Dia berumur 40 tahun, mukanya bagai bintang yang bersinar-sinar, di pipi sebelah kanannya terdapat tahi lalat hitam, dia memakai dua jubah Qatwaniyyah bagaikan pemuda Bani Israel. Dia mengeluarkan gedung-gedung dan menakluk negeri-negeri syirik”. (Al Hawi Li Al Fatawi j.2 ms.66) 

35. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Muhammad bin Al Hanafiyyah katanya, “Akan keluar panji-panji hitam anak cucu Al Abbas. Kemudian keluar daripada Khurasan panji-panji hitam yang lain. Songkok mereka hitam, pakaian mereka putih. Mereka dipimpin oleh pemuda yang dipanggil Syua’ib bin Soleh daripada Bani Tamim. Mereka akan mengalahkan tentera Sufyaani sehinggalah sampai ke Baitulmaqdis. Dia meratakan jalan untuk kekuasaan Al Mahdi dan membantunya dengan 300 orang tentera daripada Syam. Jarak masa di antara keluarnya dengan masa ia menyerahkan kepimpinan kepada Al Mahdi ialah 72 bulan.” (Ibid j.2 ms.68) 

36. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Alqamah katanya, “Akan keluar membawa panji-panji Al Mahdi seorang anak muda, nipis janggutnya, kuning warna kulitnya. Jika dia memerangi gunung akan bergoyanglah gunung hingga sampai ke Ilya’ (di Palestin).” (Ibid j.2 ms.68) 

37. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Sayyidina Ali r.a. katanya, “Bendera-bendera akan keluar untuk memerangi tentera Sufyaani. Di kalangan mereka ada pemuda Bani Hasyim. Di tapak tangan kirinya ada tanda. Tenteranya diketuai oleh seorang dari Bani Tamim dipanggil Syua’ib bin Soleh. Dia akan mengalahkan tentera-tentera Sufyaani”. (Ibid j.2 ms.69) 

38. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud katanya, “Bila terhenti perdagangan dan jalan-jalan fitnah banyak berlaku, akan keluarlah 7 orang ulamak dari pelusuk dunia yang berlainan (tempatnya) dengan tidak berjanji. Setiap orang dari mereka dibai’ahkan oleh tiga ratus dan belasan orang lelaki sehinggalah mereka berjumpa di Mekah. Maka bertemulah 7 orang itu. Sebahagian mereka bertanya kepada sebahagian yang lain, “Apakah yang membuatkan kamu datang ke sini?” Mereka berkata, “Kami datang mencari orang yang sepatutnya fitnah-fitnah ini tenang di tangannya dan Konstantiniyyah akan ditaklukinya. Kami mengenalinya dengan namanya, nama ayahnya, nama ibunya dan tenteranya. Maka ketujuh orang ulamak itu bersepakat di atas perkara tersebut. Mereka pun mencarinya dan menemuinya di Mekah. Mereka berkata kepadanya, “Engkaulah fulan bin fulan?” Dia menjawab “Tidak; Bahkan saya adalah daripada Ansar”. Sehinggalah dia melepaskan diri dan lari daripada mereka. Tujuh orang ulamak itu pun menggambarkan sifat-sifatnya kepada orang-orang yang mengetahui tentangnya dan mengenalinya, maka dikatakan, “Itulah orang yang kamu cari! Dia sudah pergi ke Madinah”. Mereka pun pergi mencarinya di Madinah tetapi dia melarikan diri pula. Mereka datang pula ke Mekah mencarinya dan menemuinya lalu berkata, “Engkau fulan bin fulan? Ibumu fulanah binti fulan? Padamu ada tanda begini….begini….engkau telah melarikan diri daripada kami sekali. Sekarang hulurkanlah tanganmu untuk kami berbai’ah denganmu.” Dia berkata, “Aku bukan orang yang kamu cari itu!” Sehingga ia melarikan diri daripada mereka. Mereka mencarinya semula di Madinah, dia pula datang ke Mekah. Kemudian mereka menemuinya di Mekah dekat Rukun dan Maqam. Mereka pun berkata kepadanya, “Engkaulah tangggung dosa kami dan darah-darah kami dipikul olehmu jika engkau tidak hulurkan tanganmu untuk kami berbai`ah denganmu. Ini tentera-tentera Sufayaani telahpun menghadap untuk mencari kita. Mereka dipimpin oleh seorang lelaki daripada Hiram”. Maka dia pun duduk di antara Rukun dan Makam Ibrahim serta menghulurkan tangan lalu dibai’ahkan kepadanya. Ketika itu Allah campakkan perasaan kasih sayang kepadanya di dalam hati manusia dan dia pun bersama golongan yang bagaikan singa-singa di waktu siang dan bagaikan rahib-rahib di waktu malam.” (Ibid j.2 ms.72) 

39. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Abi Thufail bahawa Rasulullah s.a.w. menggambarkan sifat Al Mahdi. Baginda s.a.w. menyebutkan bahawa terdapat sedikit kegagapan pada lidahnya. Bila dia terlambat untuk mengatakan sesuatu (kerana gagap) dia akan memukul peha dengan tangan kanannya. Namanya seperti namaku dan nama ayahnya seperti nama ayahku.” (ibid j.2 ms.73) 40. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Ali r.a. daripada Nabi s.a.w. sabda Baginda, “Mahdi itu adalah seorang daripada cucuku. Dia akan berperang mengikut sunnahku sebagaimana aku berperang mengikut wahyu”. (Ibid j.2 ms.74)

B. AL MAHDI MENURUT ULAMAK-ULAMAK HADITH DAN USULUDDIN 

Daripada cara tokoh-tokoh hadith mengemukakan persoalan Al Mahdi dengan mengadakan bab-bab khusus dapat diketahui peri pentingnya persoalan Al Mahdi itu di sisi mereka dan bagaimana pegangan mereka tentang aqidah kemunculan Al Mahdi. Apabila seseorang tokoh hadith mengadakan bab untuk sesuatu perkara, bermakna perkara itu adalah tsabit dan terbukti di sisinya berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. terutamanya bila disebutkan di bawah bab itu beberapa hadith dan kemudian dia tidak membuat apa-apa komentar terhadapnya. 

Berdasarkan sikap dan tindakan mereka dapat kita simpulkan bahawa mereka berpegang dengan apa yang disebutkan di dalam hadith yang dikemukakan sebagai aqidah apabila hadith-hadith itu tidak termasuk di dalam bahagian amal tetapi termasuk di dalam bahagian kepercayaan. Bab kemunculan Al Mahdi selalunya diletakkan oleh ulamak-ulamak hadith di bawah tajuk besar iaitu “Kitab Al Fitan”. Di sini akan kita kemukakan beberapa orang tokoh hadith dengan method penulisan mereka sendiri yang telah mengemukakan hadith-hadith Al Mahdi dengan terang-terangan menyebutkan gelaran itu di dalam kitab mereka. 

1. Imam Abu Daud – Beliau ialah Sulaiman bin Al Asy-ats bin Ishak bin Baasyir bin Syaddad bin ‘Amr bin Imran Al Azdi Assijistaaniy (w.275H). beliau telah mengadakan bab khusus berhubung dengan Al Mahdi di dalam kitab Al Fitan j.2 ms 232-233. Di dalamnya dikemukakan beberapa hadith dengan sanad-sanadnya yang lengkap dengan tidak membuat apa-apa komentar terhadap hadith itu yang mana mengikut kaedahnya sekurang-kurangnya hadith itu bertaraf hasan. 

2. Imam At Tirmizi – Beliau ialah Abu ‘Isa Muhammad bin Tsaurah bin Musa bin Dhahhak As Sulami Al Bughiy (w.279H). Di dalam kitabnya “Sunan” di bawah tajuk “Abwab Al Fitan” Imam At-Tirmizi telah mengadakan satu bab khusus bertajuk “Baabu Ma Jaa-a Fi Al Mahdi” j.2 ms.47. Beliau telah mengemukakan beberapa hadith yang lengkap dengan sanad-sanadnya antaranya yang telah dikemukakan sebelum ini. Daripada itu tindakan itu dapat diketahui dengan pandangan beliau tentang Al Mahdi. 

3. Imam Ibnu Majah - Beliau ialah Abu Abdillah Muhammad bin Yazid bin Abdillah bin Majah Al Qazwini (w273H). Beliau telah menukilkan beberapa hadith dengan sanad-sanadnya berhubung dengan kemunculan Al Mahdi di dalam Bab Al Fitan. Daripada hadith yang dikemukakan beliau dapat diputuskan bahawa beliau memang mempercayai demikian. Memang benar terdapat beberapa hadith maudhu’ di dalam kitab Sunan Ibn Majah itu tetapi hadith-hadith berhubung dengan Al Mahdi yang dikemukakan oleh beliau tidak termasuk dalam hadith-hadith maudhu’ dan tidak ada sesiapa pun dari tokoh-tokoh hadith yang menghukum maudhu’ hadith-hadith itu. 

4. Imam Abdul Razzak bin Hammam bin Naafi’ (w.211H). Beliau telah mengadakan satu bab berhubung Al Mahdi di dalam kitabnya “Musannaf”. Di dalam kitab itu beliau telah meriwayatkan beberapa hadith tentang kemunculan Al Mahdi (lihat j.11 ms.371-374) 

5. Abu Abdillah Al Haakim An Naisaburi. Beliau telah menukilkan banyak sekali riwayat tentang kemunculan Al Mahdi di dalam kitabnya “Al Mustadrak” (lihat Mustadrak j.4 ms.502, 520, 553, 554, 557, dan 558). Daripada tindakan beliau ini dapat difaham bahawa beliau memang beri’tikad tentang kemunculan Al Mahdi. Kerana itulah beliau telah mengemukakan hadith-hadith mengenainya di dalam kitab tersebut. 

6. Imam As Suyuthi (w.911H). Di dalam kitab-kitab beliau iaitu Jam’ul Jawaami’, Al Jaami’ul Shaghir dan lain-lain telah mengumpulkan sekian banyak hadith-hadith tentang kemunculan Al Mahdi. Bahkan beliau telah menulis satu maqalah khusus berhubung dengan Al Mahdi ini. Di dalamnya beliau mengumpulkan sebahagian besar daripada hadith-hadith mengenainya selain daripada menekankan tentang termasuknya perkara Al Mahdi itu di dalam bab aqidah. Risalah itu bernama Al ‘Arfu Al Wardi Fi Akhbari Al Mahdi dan risalah ini kemudiannya dimasukkan ke dalam kitabnya “Al Hawi Li Al Fatawi” (j.2 ms.57-58) 

7. ‘Alauddin Ali Al Muttaqiy Al Hindi penyusun kitab Jam’ul Jawaami’ karangan As Suyuthi yang berselerak ke dalam bab-bab yang lengkap dan tersusun rapi lalu kemudiannya dikeluarkan dengan nama Kanzu Al ‘Ummal juga telah menyediakan satu bab khusus berkenaan dengan Al Mahdi. Di dalam bab itu telah dikemukakan 30 riwayat mengenainya (lihat Kanzu ‘Ummal j.4 ms.584-599). Di dalam kitabnya Muntakhab Kanzul ‘Ummal juga diadakan satu tajuk berhubung dengan Al Mahdi dan di bawahnya dikemukakan beberapa hadith mengenainya (lihat Muntakhab Kanzu Al Ummal di tepi Musnad Imam Ahmad – j.6 ms.29-37) 

8. Imam Ahmad bin Hambal (w.241H) juga telah meriwayatkan beberapa hadith berhubung dengan kemunculan Al Mahdi di dalam Musnadnya. Daripada sikap beliau dapat difahami pendirian beliau tentang kemunculan Al Mahdi sebagai satu aqidah. 

9. Hafidz Nuruddin Ali bin Abi Bakr Al Haitsami (w.807H). Beliau telah menukilkan riwayat daripada Abu Sa’id Al Khudri di dalam kitabnya “Majma’u Az Zawaa’id” tentang kemunculan Al Mahdi. (j.7 ms.314). Selepas mengemukakan riwayat ini beliau mengatakan Imam Ahmad di dalam Musnadnya begitu juga Abu Ya’la di dalam Musnadnya telah mengemukakan riwayat ini dengan beberapa sanadnya yang mana perawi-perawinya adalah tsiqah. 

10. Imam Abu Ya’la Al Maushili (w.307) di dalam kitabnya Musnad juga telah meriwayatkan hadith-hadith tentang Al Mahdi dengan terang-terangan menyebutkan gelarannya dengan sanad-sanadnya yang sahih. 

11. Hafidz Ibn Hajar Al Atsqalani di dalam “Fathu Al Baari” ada menukilkan kata-kata Abul Hasan Al Khas’i Al ‘Abdi di dalam kitabnya Manaqib As Syafi’i beliau menyebutkan bahawa hadith-hadith telah sampai kepada kita secara mutawaatir bahawa Al Mahdi iu adalah daripada ummat ini dan Nabi Isa a.s akan bersembahyang di belakangnya (Fathu Al Baari j.13 ms.256). Di dalam kitabnya Syarah Nukhbatu Al Fikar Hafidz Ibn Hajar menerangkan bahawa hadith-hadith mutawaatir itu tidak perlu dibahas lagi tentang perawi-perawinya bahkan wajib beramal dengannya tanpa perbahasan lagi. (ms.12) 

12. Syah Waliyullah (w.1176H) menyebutkan di dalam kitabnya ‘Izqalatu Al Khafa’ bahawa kita mengetahui dengan penuh yakin bahawa Nabi s.a.w. telah menyebutkan dengan terang bahawa Imam Mahdi itu akan muncul sebelum qiamat dan beliau adalah khalifah yang benar di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w. Dia akan memenuhi dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Dari hadith ini diketahui bahawa khilafah Imam Mahdi itu adalah sesuatu yang mesti (wajib).(Izqatulatu Al Khafa’ j.1 ms.6) 

13. Maulana Muhammad Idris Khandahlawi mengemukakan nukilan As Suyuthi daripada kata-kata Abul Hasan Muhammad bin Al Husain bin Ibrahim bahawa “hadith-hadith kedatangan Al Mahdi dan ia dari Ahlul Bait Nabi s.a.w. telah sampai kepada kita secara mutawaatir dan ramai sekali perawi-perawinya daripada Nabi s.a.w.” Beliau juga menyebutkan bahawa hadith-hadith marfu’ tentang Al Mahdi melebihi 90 bilangannya selain daripada atsar sahabat Rasulullah s.a.w. (At Ta’liqu As Sabih j.6 ms.197-198) Di satu tempat lain, Maulana Idris menulis, “Ringkasnya hadis-hadis tentang kemunculan Al Mahdi telah sampai ke peringkat mutawaatir kerana terlau banyaknya. Ummah telah menerimanya dengan baik. Oleh itu, wajib beri’tiqad tentangnya dan tidak harus menolak dan mengingkarinya sebagaimana telah dinyatakan oleh ulamak mutakallimun sebagai salah satu aqidah yang mesti dii’tiqadkan oleh setiap orang Islam. (At Ta’liqu As Sabih, j.6 ms.198) 

a) Di antara kitab-kitab usuluddin pula yang membincangkan perkara ini dikemukakan sebagai contohnya “Syarah Aqidah As Safarini”, di dalamnya pengarangnya ada menyebutkan tentang masalah kemunculan Al Mahdi dengan panjang lebar sekali. Selepas mengemukakan sekian banyak hadith-hadith berhubung dengan kemunculan Al Mahdi, pengarangnya menulis, “Bahawa telah banyak riwayat-riwayat sampai kepada kita tentang kemunculan Al Mahdi itu sehingga ia telah sampai ke peringkat “tawaatur ma’nawi” dan perkara ini tersebar dengan luas di kalangan ulamak Ahlus Sunnah sehingga dikira sebagai salah satu aqidah mereka. Jadi beriman dengan kemunculan Al Mahdi adalah wajib sebagaimana telah ditentukan di sisi ahli ilmu dan telah dibukukan di dalam “Aqa’id ahlus Sunnah Wal Jamaah.” (j.2 ms.80) 

b) Di dalam sebuah kitab aqidah yang masyhur “Nukhbatu Al La-ali Syarah Nadzam Badi’ Al Amali” pengarangnya Allamah Muhammad bin Sulaiman Al Halabiy menulis, “Ketahuilah bahawa wajib beriman dengan turunnya ‘Isa a.s. Demikian juga dengan keluarnya Al Mahdi.” (ms.71)

C. SANGKALAN SESETENGAH PIHAK TERHADAP HADITH-HADITH AL MAHDI 

Sebenarnya sangkalan terhadap hadith-hadith yang telah menyebutkan Al Mahdi dari mana-mana pihak sekalipun sekarang ini adalah berasaskan kritikan yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun di dalam “Muqaddimah”nya fasal ke-52. Maulana Badri ‘Alam murid kepada Allamah Anwar Syah Kashmiri di dalam kitabnya “Tarjuman As Sunnah”(j.4 ms.381) menyebutkan telah ramai ulamak menjawab hujjah-hujjah Ibn Khaldun itu. Di antara jawapan dari pihak jumhur ulamak ialah sebuah kitab yang bernama “Ibraazu Al Wahmi Al Maknun Min Kalami Ibni Khaldun”. Hadith-hadith tentang Al Mahdi yang dipertikaikan oleh Ibn Khaldun ada 28 kesemuanya. Oleh kerana hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh beliau agak panjang apa lagi ditambah dengan jawapan-jawapan oleh pihak ulamak terhadapnya, maka saya kira tidak perlu dikemukakan semua itu. Walau bagaimanapun boleh disimpulkan bahawa penolakan Ibn Khaldun terhadap hadith-hadith Al Mahdi itu adalah berdasarkan 3 alasan sebagaiman disebutkan oleh beliau sendiri: 
i. Bila berlaku jarh dan ta’adil terhadap perawi maka perlu ditarjihkan pihak jarh. 

ii. Tidak ada satu pun hadith Al Mahdi tersebut di dalam Bukhari dan Muslim. 

iii. Hadith-hadith sahih berhubung dengan perkara ini tidak menyebutkan perkataan “Al Mahdi” atau namanya dengan terang.(Muqaddimah Ibn Khaldun ms.312, 316 & 322) Sikap Ibn Khaldun ditolak oleh ulamak, umpamanya Maulana Idris Khandahlawi mengatakan, “Ketahuilah bahawa ada di antara ahli sejarah telah mencederakan hadith-hadith Al Mahdi dengan berkata ianya adalah hadith-hadith dha’if kerana itulah Bukhari dan Muslim tidak meriwayatkannya” maka cenderunglah ahli sejarah itu (Ibn Khaldun) kepada menyangkal kemunculan Al Mahdi secara total. Sebenarnya itu adalah satu kesalahan dan sikap melampau.” (At Ta’liqu As Sabih, j.6 ms.197) 

Kemudian beliau berkata, “Adapun alasan ahli sejarah itu bagi mengingkari kemunculan Al Mahdi bahawa Bukhari dan Muslim tidak meriwayatkannya, maka itu adalah alasan lemah dan tidak dapat diterima kerana Bukhari dan Muslim tidak menghabisi mengemukakan hadith-hadith sahih. Di sana terdapat beribu-ribu hadith sahih yang tidak dikemukakan oleh Bukhari dan Muslim tanpa syak dan ragu lagi di sisi imam-imam hadith.” (Ibid, j.6 ms.198) 

Sebagai menjawab kemusykilan yang dikemukakan Ibn Khaldun tentang tidak tersebutnya dengan terang perkataan “Al Mahdi” atau namanya di dalam hadith-hadith sahih terutamanya Bukhari dan Muslim, Maulana Idris menulis, “Hafidz Jalaluddin As Suyuti telah mengemukakan 90 hadith dengan panjang lebar di dalam risalahnya “Al ‘Arfu Al Wardi” dan di dalam 36 hadith daripadanya tersebut dengan terang nama “Al Mahdi” itu sementara di dalam hadith-hadith selainnya tersebut perkataan “Khalifah” bersama dengan sifat-sifatnya yang tersebut di dalam hadith-hadith Al Mahdi yang lain. Berdasarkan hakikat ini terhapuslah alasan ahli sejarah tersebut bahawa “hadith-hadith Al Mahdi tersebut secara samar” kerana sesuatu yang samar (mubham) semestinya diletakkan di atas yang terang (mufassar) menurut ijma’ ulamak-ulamak hadith jika hadith itu sama. 

Selain dari itu, tindakan imam-imam hadith yang mengemukakan hadith-hadith yang samar itu dalam bab “Al Mahdi” menunjukkan hadith-hadith samar yang berkaitan dengan keluarnya seorang khalifah yang adil di akhir zaman dikaitkan dengan Al Mahdi mengikut tokoh-tokoh hadith. (Ibid j.6 ms.198) 

Sikap Ibn Khaldun yang kelihatan agak keras dan terlau kritis berkenaan dengan hadith-hadith Al Mahdi itu sebenarnya mempunyai latar belakang yang tersendiri iaitu sampai ke zaman beliau iaitu abad ke-8 H. Sudah sekian banyak dakwaan-dakwaan sebagai Al Mahdi terbit dari berbagai-bagai pihak sehingga menyesatkan pula sekian ramai umat Islam dan terdapat sekian banyak pula hadith-hadith palsu mengenainya. 

Justeru itu beliau mengambil sikap yang sangat kritis dan terlalu berhati-hati dengan hadith-hadith berhubung dengan Al Mahdi itu sehingga umpamanya jika terdapat seorang sahaja yang dikatakan Syi’ah di dalam sesuatu sanad hadith terus akan ditolak oleh beliau kerana golongan itulah yang paling banyak sekali terlibat dalam penciptaan hadith-hadith palsu berhubung dengan Imam Mahdi tetapi perlu sekali diingati bahawa ulamak-ulamak yang sederhana sikapnya tetap meneliti dan menilai hadith-hadith berhubung dengan Al Mahdi dengan adil dan saksama. Kerana bagi mereka tidak ada ertinya menafikan sesuatu hakikat yang sememangnya ada semata-mata terdapat kekeliruan dan kepalsuan di sekitarnya. Selain dari itu di sana terdapat beribu-ribu ulamak Islam di dalam berbagai-bagai-bidang terutamanya di bidang hadith telah menerima kewujudan dan kemunculan Al Mahdi di akhir zaman nanti berdasarkan hadith-hadith Rsaulullah s.a.w. Tokoh-tokoh hadith itu lebih arif dan lebih cermat di dalam penilaian sesuatu hadith jika dibandingkan dengan Ibn Khaldun yang memang diakui sebagai tokoh dan bapa di dalam Ilmu Kemasyarakatan dan Falsafah Sejarah. Tetapi kedudukannya di bidang hadith tidaklah dapat menyamai apalagi mengatasi tokoh-tokoh hadith seperti Ibn Hajar Al Haitsami dan lain-lain lagi.

D. PENENTUAN SESEORANG SEBAGAI AL MAHDI 

Zaman pemerintahan Al Mahdi di akhir zaman itu adalah suatu zaman pemerintahan Islam yang gemilang dan berada di puncak keadilan dan kemewahannya. Kerana itu kita dapati apabila seseorang terutama pemerintah itu adil maka ada-ada saja orang yang bertanya, “Adakah dia Al Mahdi yang dimaksudkan?” Perkara ini dapat di lihat, umpamanya: 

1. Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Haakim bin Sa’ad katanya, “Bila Sulaiman bin Abdul Malik menjadi khalifah dan dia telah melakukan sumbangan dan kebaikan kepada negara, akupun berkata Abi Yahya, “Adakah dia ini Al Mahdi yang di sebutkan itu?” Jawabnya, “Bukan.” (Al Hawi Li Al Fatawi, j.2 ms.80) 

2. Pernah disebutkan di depan Mathar tentang Umar bin Abdul Aziz (sebagai Al Mahdi) maka beliau berkata, “Kami mendapat tahu (melalui hadith-hadith) bahawa Al Mahdi itu akan melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Umar bin Abdul Aziz.” Kami pun bertanya, “Apa dia?” Dia menjawab, “Orang datang kepadanya (Al Mahdi) lalu meminta kepadanya (harta), langsung dia berkata, “Masuklah ke dalam perbendaharaan negara dan ambillah sebanyak mana yang engkau mahu. Maka dilihat orang ramai semuanya kekenyangan lalu menyesallah dia dan kembali semula kepada Al Mahdi seraya berkata, “Ambillah apa yang engkau telah berikan kepadaku”, tetapi Al Mahdi enggan dan dia akan berkata, “Bila kami memberikan sesuatu, kami tidak akan mengambilnya kembali.” (Ibid j.2 ms.77) 

3. Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Ibrahim bin Maisarah katanya, “Aku bertanya Thaus, “Umar bin Abdul Aziz itukah Al Mahdi ?” Beliau menjawab, “Memang dia Al Mahdi tetapi bukan lagi yang sebenar (yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam banyak hadith Baginda) belum lagi keadilan sepenuhnya dijalankan di zaman pemerintahannya (seperti yang berlaku di zaman pemerintahan Imam Mahdi di akhir zaman). (Ibid, j.2 ms.80) 

4. Di riwayatkan daripada Abu Jaafar Muhammmad Al Baqir katanya, “Mereka mendakwa aku Al Mahdi sedang aku nampak ajalku lebih hampir daripada apa yang didakwakan oleh mereka terhadapku.” (Ibid, j.2 ms.81) 

5. Abu Ishaq As Sabi’i selalu berkata, “Jika kamu melihat Muawiyah atau sempat dengan zaman pemerintahannya, maka (kerana keadilan dan kesaksamaan di dalam pemerintahannya) kamu akan menganggapnya Al Mahdi.” (Al Bidayah Wa An Nihayah, j.8 ms.145) 

6. Demikian juga dinukilkan bahawa Mujahid ada berkata, “Jika kamu sempat dengan zaman pemerintahan Muawiyah tentu kamu berkata, “Inilah Al Mahdi” (Al ‘Awasim Min Al Qawasim, ms.205) 

Mungkin keterangan-keterangan seperti ini mengelirukan sesetengah golongan kerana di sini kelihatan beberapa tokoh Islam dari kalangan sahabat dan tabi’in telah dikatakan sebagai “ Al Mahdi ” tetapi jika diperhatikan dengan teliti tentu tidak akan timbul sebarang kekeliruan walaupun riwayat-riwayat itu menyebutkan orang-orang tertentu selain daripada Al Mahdi yang sebenar sebagai Mahdi kerana daripada riwayat-riwayat itu dapat difaham beberapa perkara: 

(a) Mahdi yang sebenarnya ialah seperti yang disebut di dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w. “ Akan datang di akhir zaman. Dia akan memenuhi dunia ini dengan keadilannya setelah ia dipenuhi dengan kezaliman.” 

(b) Riwayat-riwayat seperti tadi hanya bermaksud mengumpamakan mereka dengan Al Mahdi yang sebenarnya sahaja. Lantaran telah jelas kepada mereka Al Mahdi yang sebenar itu bukannya dimaksudkan mereka sendiri sebagai Al Mahdi. 

(c) Gelaran “ Al Mahdi ” memang telah diberi dan selalu diberikan kepada sesiapa sahaja dari pemerintah yang adil dengan menjalankan hukum-hukum Islam serta mengikut kehendak-kehendaknya dengan betul. Ini sama seperti perkataan “dajjal” digunakan kepada orang-orang penipu dan pemusnah aqidah ummat di setiap zaman walaupun dajjal yang sebenar bukannya mereka dan sedia diketahui daripada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. sifat-sifatnya. Perkara ini dapat dilihat umpamanya di dalam apa yang diriwayatkan: 

(i). Daripada Ibn Umar bahawa dia pernah berkata kepada Ibnul Hanafiyyah, “Al Mahdi digunakan oleh mereka sebagai istilah untuk orang yang baik.” 

(ii). Nabi s.a.w. mendoakan Muawiyah, “Ya Allah! Jadikanlah dia (Muawiyah) Haadi (pemimpin) lagi Mahdi (yang terpimpin) dan pimpinlah manusia dengannya.” (Hadith Riwayat At-Tirmizi) 

(iii). Rasulullah s.a.w. juga pernah mengajarkan kepada Ammar bin Yassir cara bagaimana berdoa. Antara yang diajarkan ialah, “Ya Allah! Jadikanlah kami “Hudaatan Mahdiyyin.” Jadi menggunakan istilah “Mahdi” dalam erti yang umum kepada seseorang yang soleh terutama kepada pemerintah yang adil bukanlah sesuatu yang menyalahi ajaran agama Islam. Sebagaimana mengatakan kepada seseorang perosak agama sebagai “dajjal” buka juga sesuatu yang salah. Hanya menjadi kesalahan apabila seseorang yang bukan “Mahdi sebenarnya” dianggap sebagai yang disebut-sebutkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam banyak hadith Baginda s.a.w. seperti yang sebelum ini. 

Memang telah ramai berlalu orang-orang yang telah dianggap sebagai Al Mahdi seperti yang tersebut di dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang akan keluar di akhir zaman itu tetapi mereka sebenarnya bukanlah Al Mahdi itu lantaran tidak menepati sifat-sifat dan gambaran yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadith-hadith baginda s.a.w. yang sangat banyak itu. Syiah Kaisaniyyah menganggap Muhammad bin Hanafiyyah sebagai Al Mahdi. Syiah Saba’iyyah menganggap Saidina Ali sebagai Al Mahdi. Muhammmad bin Tumart juga telah dianggap orang sebagai Al Mahdi. Ubaidullah bin Maimun Al Qaddah juga dipercayai sebagai Al Mahdi. Syiah Imamiyyah Itsna ‘Asyariyyah pula menganggap Muhammad bin Hasan Al ‘Askari sebagai Al Mahdi yang ditunggu-tunggu kemunculannya Di negara kita ini pun tidak kurang bilangan orang yang dipercayai atau didakwa sebagai Al Mahdi. Ada Al Mahdi yang didakwa oleh mereka itu telahpun mati dan diakui oleh pengikut-pengikutnya sendiri. Ada juga yang dipercayai telah ghaib. Ada yang ghaib ketika masih kecil, ada pula yang ghaib ketika umur sudah tua. Ada yang mendakwa sebagai pemegang bendera Al Mahdi dan macam-macam lagi. Sampai di sini perlu sekali kita kembali kepada hadith-hadith Nabi s.a.w. yang mengingatkan setiap orang begitu kepingin dengan pangkat-pangkat yang sangat istimewa itu walaupun tidak mempunyai kelayakan. 

Sabda Rasulullah S.A.W: 

Ł…Ł† Ų§ŲÆّŲ¹Ł‰ Ł…Ų§ Ł„ŁŠŲ³ Ł„Ł‡ ŁŁ„ŁŠŲ³ Ł…Ł†ّŲ§ 

“Sesiapa yang mendakwa sesuatu yang bukan haknya, bukanlah ia dari ummatku.” (Hadith Riwayat Muslim) 

Sabda Baginda S.A.W lagi: 

Ł…Ł† Ų§ŲÆّŲ¹Ł‰ Ł‚ŁˆŁ…Ų§ Ł„ŁŠŲ³ Ł„Ł‡ ŁŁŠŁ‡Ł… Ł†Ų³ŲØ ŁŁ„ŁŠŲŖŲØŁˆّŲ£ Ł…Ł‚Ų¹ŲÆŁ‡ Ł…Ł† Ų§Ł„Ł†ّŲ§Ų± 

“Sesiapa yang mendakwa hubungan keturunan sesuatu kaum, sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan kaum itu, bermakna dia telah menyediakan tempatnya dalam neraka.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Post a Comment

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget