Perkongsian ilmu dan informasi yang berkaitan dengan Islam dan akhir zaman berdasarkan akidah ahlus sunnah wal jamaah.

Hukum, Sejarah, Hikmah & Rakaat Solat Sunat Tarawih

Dakwah Maya - Maksud Tarawih dari bahasa ialah berasal dari perkataan tarwihah yang bermaksud satu kali istirehat. 

Solat Tarawih pada istilah ialah solat sunat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak. 

Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat sunat Tarawih, sebelum disambung semula. 
Hukum Solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. 

Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. 

Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan Solat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar; berjaya tetapi tidak cemerlang. 

Sesungguhnya sangatlah ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat Sunat Tarawih. 

Kelebihan yang paling besar dikurniakan Allah swt kepada orang yang mengerjakan solat Tarawih. Sabda 

Rasulullah s.a.w. yang ertinya: 
“Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Sejarah Solat Tarawih ialah bermulanya di Masjid Nabawi, ketika mana malam pertama Ramadhan Nabi Muhammad saw mengerjakan Solat Tarawih dan diikuti oleh sahabatnya yang berada di masjid tersebut. 

Malam kedua Nabi Muhammad saw mengerjakan lagi Solat Tarawih dan diikuti lebih ramai lagi para sahabatnya. 

Pada malam ketiga lebih ramai lagi para sahabatnya menunggu Nabi Muhammad saw untuk mengerjakan Solat Tarawih, tetapi Nabi Muhammad saw tidak hadir pada malam tersebut. 

Pada keesokkan harinya, para sahabat bertanya kepada Rasulullah akan hal tersebut. Rasulullah menjawab kuatir Solat Tarawih tersebut diwajibkan. 

Peristiwa ini berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah ra bermaksud : 
"Pada suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. solat dimasjid, maka para sahabat mengikuti solatnya. Pada malam berikutnya, Baginda s.a.w. solat lagi dimasjid dan para sahabat yang mengikutinya bertambah ramai. Lalu mereka berhimpun pada malam ketiga atau keempat, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid untuk solat bersama mereka. Pada sebelah paginya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu kerjakan dan tidak ada sesuatu apa pun yang mencegah aku untuk keluar mengerjakan solat bersama kamu semua kecuali aku khuatir kalau- kalau kamu menganggap solat itu diwajibkan atas kamu." (Riwayat Muslim) 

Rakaat Solat Tarawih 

Ulamak dari empat mazhab bersepakat bahawa Solat Tarawih mempunyai 20 rakaat tidak termasuk dengan witir. 

Hujah ini berdasarkan kepada : Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. umat Islam mengerjakan Solat Tarawih dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat. 

Hadith riwayat Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta' . Yazid bin Rauman berkata: "Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. orang ramai mengerjakan Solat Tarawih sebanyak 23 rakaat. ( 20 rakaat Tarawih dan 3 Rakaat Witir) 

Pendapat dari ulamak muktabar Tentang Rakaat solat Sunat Tarawih ialah :  Syeikh Al-Dardir dalam kitabnya Aqrabul Masalik'ala Mazhab Al-Imam Malik mengatakan bahawa : "Bahawa Solat Tarawih itu 20 rakaat dilaksanakan selepas solat Isyak dan salam setiap dua rakaat selain witir. Solat Tarawih itu sunat dikerjakan dirumah jika masjid telah penuh dengan jamaah yang mendirikan Solat Tarawih. akan tetapi jika masjid kosong daripada Solat Tarawih maka yang lebih utama adalah masjid dengan berjama'ah." 

Imam Syafii dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa : “Solat Tarawih itu berjumlah 20 rakaat berdasarkan ijma para sahabat pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Imam Ibnu Abdil Bar menerangkan: "Sungguh benar adanya daripada Ubai bin Kaab bahawa beliau Solat Tarawih dengan 20 rakaat bersama umat Islam tanpa ada perselisihan pendapat daripada para sahabat." 

Ibnu Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid berkata: "Imam Malik dalam satu riwayat mengatakan Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafii dan Imam Ahmad memilih 20 rakaat selain witir."

Post a Comment

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget