Projek Menghafal 10 Ayat Awal Surah Al-Kahfi
Tafsir Surat Al-Kahf (The Cave) - Ayat 1
الْحَمْدُ لِلَّهِ
Pujian itu milik Allah; Segala pujian. Samada satu pujian, dua pujian atau semua pujian adalah milik Allah. Semua pujian itu adalah hak Allah. Orang lain pun dipuji juga, tapi semua pujian itu sebenarnya milik Allah. Kerana walau bagaimana pun kita puji makhluk lain, kita sebenarnya memuji Allah.
Kalau kita puji seseorang itu cantik, sebenarnya kita puji Allah juga kerana Allah lah yang telah menjadikan orang itu cantik. Allah telah memuji diriNya sendiri dalam ayat ini. Allah telah mengajar kita bagaimana cara untuk memuji DiriNya.
الَّذِي أَنْزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ
Zat yang menurunkan kepada hambaNya, kitab Quran; Lihatlah, apabila Allah berkata segala pujian itu milikNya, Nabi Muhammad yang menerima wahyu ini tidak disebut nama dan pangkatnya, hanya disebut perkataan ‘hambaNya’ sahaja.
Allah memuji DiriNya sendiri dalam ayat ini kerana Dialah yang menurunkan Quran yang mulia kepada Nabi yang mulia untuk disampaikan kepada umat. Quran itu adalah nikmat yang maha besar yang Allah berikan kepada makhlukNya. Dengan Quran itu dapat mengeluarkan manusia dari kegelapan kesesatan kepada cahaya kebenaran.
Dalam ayat ini, kita bertemu tiga perkara pokok yang dibicarakan dalam Quran: Allah, Rasul dan Kitab. Allah menurunkan Kitab (Quran) kepada manusia melalui HambaNya (Nabi Muhammad). Dan Allah memuji DiriNya kerana Dialah yang menurunkan Kitab itu.
Pujian bukanlah kepada Quran itu kerana ianya diturunkan Allah. Begitu juga para Nabi semua menjalankan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allah. Segala pujian adalah hanya kepada Allah. Kerana kalau kita memuji sesiapa atau apa sahaja, ianya akan kembali kepada Allah.
Maka ini, juga mengajar kita merendahkan diri kita kalau ada seseiapa yang memuji kita, kerana kalau ada apapun yang baik pada diri kita, ianya adalah dari Allah semata-mata.
Allah hendak mengingatkan manusia bahawa Dialah yang menurunkan wahyu itu kepada Nabi Muhammad. Quran itu bukan datang daripada selain Allah taala. Jadi, jangan kita ambil mudah dengan Quran ini. Ianya datang daripada Allah.
وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا
Dan tidak mungkin sama sekali kamu dapati dalam Quran ini sebarang perselisihan. Ayat yang didepan dan dibelakang tidak ada perselisihan. Ayat dulu dan kemudian tidak ada perselisihan. Tidak ada langsung perselisihan dalam Quran itu.
Berbeza dengan kitab agama lain yang mempunyai banyak sangat kesilapan dan kekeliruan di dalamnya. Quran memberi cabaran kepada manusia untuk mencari kesilapan yang ada dalam Quran. Cabaran itu diberikan dari dulu lagi, tapi tidak ada yang dapat mencari kesilapannya kerana tidak ada. Itulah yang hendak disampaikan dalam ayat ini.
Dari segi bahasa, perkataan عِوَجًا itu bermaksud kebengkokan. Contohnya, jalan yang benjol-benjol boleh dipanggil عِوَجًا. Begitu juga kekurangan yang ada pada manusia.
Contohnya, seseorang yang berjalan bengkang bengkok. Ia juga bermaksud sesuatu yang tidak jelas, tidak boleh difahami. Sebagai contoh, ada orang yang bila bercakap dengan kita, akhirnya kita tak faham dia nak beritahu apa dengan kita. Tidak begitu dengan Quran. Apa sahaja yang Quran sampaikan, ada maksud yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Quran itu. Ianya membawa kepada jalan yang lurus.
Download MP3 Surah Al-Kahf Ayat 1
Download MP3 Surah Al-Kahf Ayat 1-10 (satu fail)
Sumber tafsir
Download MP3 Surah Al-Kahf Ayat 1
Download MP3 Surah Al-Kahf Ayat 1-10 (satu fail)
Sumber tafsir
Post a Comment