Pelajar jurusan agama dan tahfiz juga perlu mempunyai kemahiran menggunakan teknologi moden terutama Internet untuk memantapkan lagi usaha dakwah. - Gambar hiasan |
MANUSIA tidak perlu lagi bersusah payah mengirim surat untuk berkomunikasi, berjumpa untuk melihat rupa, ataupun mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai isu global.
Segalanya boleh diperolehi sepantas kilat iaitu dengan hanya menekan butang carian laman web di hujung jari.
Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin pesat membangun menjadikan kehidupan manusia bertambah mudah dan sempurna dalam segala aspek.
Peralatan teknologi canggih kian bertambah dari hari ke hari. Ia menawarkan pelbagai kemudahan serta tarikan interaktif yang menjadi kegilaan remaja masa kini untuk menguasainya.
Fenomena evolusi media baru itu menjadikan dunia tanpa sempadan sekali gus merubah peradaban manusia menuju kepada era modenisasi.
Sehinggakan masyarakat yang lahir selepas kebangkitan era informasi dan teknologi itu digelar sebagai generasi Y.
Mula digunakan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat pada tahun 1980 untuk menjejaki musuh, kini Internet diguna secara meluas di seluruh dunia.
Untuk itu, anak-anak masa kini 'wajib' didedahkan dengan pelbagai kemudahan teknologi dan laman sosial agar tidak ketinggalan dalam proses pembesaran mereka.
Ia bertepatan dengan pesanan Saidina Ali kepada umat Islam supaya mendidik anak-anak mengikut zaman yang mereka sedang lalui, bukannya zaman ibu bapa yang sudah jauh berbeza.
Selari dengan perubahan semasa itu, pendakwah tidak terkecuali mengambil manfaat media interaktif tersebut untuk menyebarkan ilmu ajaran Islam kepada masyarakat.
Sebagai contoh laman sosial seperti Facebook (Fb), You tube dan blog yang kini digunakan ramai dijadikan sebagai medan berkesan dalam berdakwah.
Perkara itu diakui oleh pendakwah dan penulis prolifik Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan Mohammad Kazim Elias al-hafiz.
Dr. Zaharuddin yang juga pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, bagaikan ribut tsunami, media baru berupaya mempopularkan seseorang atau menyebarkan pengaruh dalam tempoh yang amat singkat.
Katanya, boleh dikatakan hampir semua orang kini melayari Internet dan mempunyai laman Fb sendiri.
"Pastinya mereka mempunyai jumlah rakan tersendiri di laman sosial tersebut. Oleh itu, setiap status yang kita kemaskini akan dibaca oleh setiap rakan kita itu.
"Oleh itu, pendakwah juga perlu mengambil kesempatan daripada kemudahan ini untuk menyebarkan ajaran Islam melalui pendekatan yang santai dan digemari tersebut," katanya ketika ditemui di pejabatnya di UIAM, Gombak, baru-baru ini.
Dr. Zaharuddin yang mempunyai bilangan peminat di Fb mencecah hampir 300,000 orang berkata, kuasa media baru itu dikatakan lebih mendapat sambutan daripada medium media yang lain seperti televisyen, radio atau akhbar.
Katanya, strategi menyampaikan dakwah perlu bersifat fleksibel dan praktikal mengikut kesesuaian dengan peredaran semasa.
"Jika kita dapat memanfaatkan medium tersebut dengan memaksimumkan kreativiti, pengisian serta gaya penulisan yang baik, maka ia akan menjadi tarikan kepada pembaca.
"Sebagai contoh, setiap status yang saya kemaskini akan dapat dibaca oleh orang ramai yang mengikuti blog atau Fb saya.
"Secara langsung bilangan pembaca yang puratanya hampir 200,000 pembaca pada setiap status itu menjadikan jumlah pelayar melebihi pembaca di akhbar atau penonton siaran televisyen atau radio," katanya.
Menurut beliau, segala perkongsian informasi tersebut boleh diperolehi dan dilakukan dengan mudah, pantas serta tidak perlu mengeluarkan tenaga yang banyak.
Bagaimanapun katanya, di samping pelbagai kemudahan dan kebaikan, pengguna perlu berhati-hati dalam memilih ilmu yang disebarkan menerusi Internet.
"Dasar kebebasan tanpa sekatan dalam dunia siber membolehkan semua orang menulis dan memberikan pandangan. Ada dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam ilmu agama atau berniat buruk untuk menyelewengkan ajaran Islam.
"Oleh itu, pengguna harus bijak dalam memilih ilmu yang ingin diperolehi. Pengguna juga perlu mengkaji dengan terperinci dalam semua aspek termasuk latar belakang penulis serta sumber sokongan yang kukuh untuk menguatkan hujah penulis tersebut sebelum menerima sesuatu maklumat," katanya.
Dr. Zaharuddin berkata, perkara itu penting kerana terdapat banyak laman web dan gerakan-gerakan yang dikenal pasti cuba mengambil kesempatan menyesatkan umat Islam dengan mengaburi mereka menggunakan latar belakang Islam.
Walaubagaimanapun, beliau menegaskan, pembelajaran secara berguru (talaqqi) tidak boleh ditinggalkan dan perlu diteruskan oleh setiap orang dalam menuntut ilmu asas agama.
"Orang yang mengambil sepenuhnya ilmu daripada Internet tanpa mempunyai ilmu asas berkemungkinan besar mudah terseleweng dan terpengaruh dengan ajaran yang bertentangan dengan Islam," katanya.
Beliau berkata, belajar secara tradisional yang memerlukan murid bertemu gurunya sangat penting.
Ini kerana ia membolehkan pelajar berinteraksi secara terus kepada gurunya dan lebih memahami apa yang ingin disampaikan.
"Menuntut ilmu secara bertalaqqi mampu memberikan apa yang tidak boleh dilakukan melalui Internet.
"Keberkatan ilmu dapat diperolehi daripada pengajian berguru dan membuatkan pelajar dapat lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka," jelasnya.
Sementara itu, Mohammad Kazim berkata, terdapat empat elemen dalam menuntut ilmu iaitu dengan bertalaqqi secara terus, belajar, melihat dan mendengar.
Katanya, tiada batasan atau halangan dalam mengajak seseorang kepada kebaikan malah dituntut oleh Allah SWT.
Oleh kerana trend masyarakat terutama remaja masa kini yang sukakan teknologi, jadi tidak salah pendakwah mengambil kesempatan menyebarkan dakwah menerusi platform tersebut.
"Ia bukan sahaja mudah untuk dibaca dan dilihat pada bila-bila masa dan juga di mana sahaja, malah penyampaian yang interaktif mampu menarik minat pelayar laman tersebut secara tidak langsung menjadikan dakwah lebih berkesan," katanya.
Beliau menasihati para pendakwah supaya bersikap profesional dan tidak mencampuradukkan sebarang elemen lain dalam penyampaian dakwah.
"Pendakwah adalah ikon kepada masyarakat serta melambangkan keindahan Islam itu sendiri.
"Sekiranya unsur lain seperti ideologi politik atau masalah peribadi dimasukkan dalam penyampaian dakwah, ini akan memberi kesan yang buruk kepada masyarakat.
"Masyarakat akan terpengaruh dengan perkara yang disampaikan oleh penceramah tersebut dan ia akan menjejaskan tujuan asal ceramah atau penulisan untuk menyampaikan ajaran Islam," jelasnya.
Mohammad Kazim menambah, sebagai pelayar Internet pula, masyarakat perlu meneliti penceramah serta pengisian yang dikemukakan.
Jangan sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat jika didapati mempunyai unsur yang tidak betul.
Bagi meluaskan dakwah Islam menerusi siber, beliau yang juga Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah menerapkan kelas pengajian komputer kepada pelajar pusat tahfiznya agar berkemahiran dalam media baru.
"Pelajar agama tidak terkecuali mengetahui perkembangan teknologi semasa. Sebenarnya kumpulan inilah yang akan mencetuskan pelbagai idea baru bagi menyebarkan Islam menerusi dunia siber.
"Penguasaan Internet dalam kalangan golongan berpendidikan agama juga mampu merubah fenomena 'kegilaan' masyarakat daripada perkara yang tidak bermanfaat kepada pengetahuan ilmu agama dengan mengislamkan dunia siber," katanya.
Post a Comment