Berserah diri kepada kalimah tauhid sama juga seperti berserah diri kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala, kerana ia bermaksud tunduk kepada Allah lahir batin, merendah diri serta taat melakukan segala suruhanNya dengan ikhlas dan meninggalkan segala laranganNya, yang mana ini semua dilakukan berdasarkan firman Allah:
وَمَنْ يُّسْلِمْ وَجْهَهُ اِلَى اللهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بَالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى وَاِلَى اللهِ عَاقِبَةُ اْلاُمُوْرِ.
"Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allahlah kesudahan segala urusan". Luqman, 31:22.
Apa yang dimaksudkan dengan kalimah (بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى) "Buhul Tali Allah" di dalam ayat ini ialah "Kalimah tauhid" iaitu:(لاَاِلَهَ اِلاَّ اللهُ) "Tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah".
وَاَنِيْبُوْا اِلَى رَبِّكُمْ وَاَسْلِمُوْا لَهُ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لاَ تُنْصَرُوْنَ.
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhammu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)". Az-Zumar, 39:54.
Lawan dari berserah adalah penolakan. Iaitu meninggalkan apa yang dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam. Allah berfirman:
فَلْيَحْذَرِ الَّذِيْنَ يُخَالِفُوْنَ عَنْ اَمْرِهِ اَنْ تُصِيْبَهُمْ فِتْنَةٌ اَوْ يُصِيْبَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ.
"Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cobaan atau ditimpa azab yang pedih". An-Nur, 24:63.
Post a Comment