Perkongsian ilmu dan informasi yang berkaitan dengan Islam dan akhir zaman berdasarkan akidah ahlus sunnah wal jamaah.

Sebak lihat kebesaran ALLAH

Antara rumah yang terlibat. Gambar kecil : Nor Hakimah
sinarharian.com.my
ALOR SETAR - Seorang mangsa kebakaran sebak menyaksikan tanda kebesaran ALLAH apabila sejadah yang dihampar untuk menunaikan solat Maghrib masih dalam keadaan elok walaupun rumahnya musnah di Kampung Pondok Chegar, Jalan Pantai Johor, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan kejadian yang membabitkan empat rumah berjiran itu berlaku kira-kira jam 7.15 malam, ketika mangsa Nor Hakimah Abdul Talib, 48, sedang mengambil wuduk di rumahnya.

“Semasa berwuduk saya mendengar bunyi bising orang ramai menjerit di luar rumah. Bimbang berlaku sesuatu saya segera menjenguk menerusi tingkap di ruang tamu namun terkejut melihat api sedang marak menjulang tinggi di rumah jiran.

“Dalam keadaan kelam kabut saya segera capai tuala untuk tutup kepala dan api juga sudah mula merebak ke arah tingkat atas rumah,” katanya kepada media, ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.

Hampar sejadah sebelum wuduk

Menurut Nor Hakimah, memang sudah menjadi rutin baginya menghampar sejadah di ruang solat berhampiran dapur sebelum mengambil wuduk.

“Memang sebak sangat melihat keadaan sejadah masih terletak elok di tempatnya bukti kekuasaan Allah sedangkan hampir keseluruhan bahagian rumah terbakar, hanya kawasan berhampiran dapur sahaja yang terselamat.

“Bingkai-bingkai tertulis kalimah suci al-Quran di sudut pintu masuk ke dapur serta beberapa naskah al-Quran yang diletakkan di atas rak juga langsung tidak terusik,” katanya.

Ayat al-Quran yang digantung pada sudut dapur rumah tidak terbakar.
Dia berkata, tindakan pantas dua orang anaknya iaitu Zulfekar Ahmad Shaalani, 18, dan Mohamad Iqbal Ahmad Shaalani, 15, turut menyelamatkan dua ahli keluarga mereka yang kurang sihat.

“Salah seorang anak perempuan saya terlantar demam sejak sebulan lalu berehat di atas katil berdekatan ruang tamu, manakala adik kedua iaitu Mazri, 46, yang mengalami masalah mental tidur di tingkat atas.

“Zulfekar pada awalnya membantu jiran memadam kebakaran namun apabila menyedari keadaan semakin tidak terkawal dia segera berpatah balik dan segera masuk ke dalam rumah memangku keluar kakaknya untuk dihantar ke rumah jiran berdekatan,” katanya.

Menurutnya, sementara Iqbal pula terpaksa menendang pintu di bahagian luar tingkat atas rumah untuk menarik keluar bapa saudaranya kerana tangga dalam rumah sudah hangus dalam kebakaran.

Solat Maghrib tertangguh, terkejut dengar kebakaran.

Suaminya, Marzuki Ahmad, 70, berkata, kejadian berlaku waktu dia sedang bersiap-siap mahu menunaikan solat Maghrib di surau bersebelahan dengan rumahnya.

“Saya terkejut dengar Iqbal menjerit rumah jiran terbakar sebelum bergegas turun. Sewaktu sampai depan rumah api sedang marak merebak ke rumah jiran dan saya bertindak segera menghubungi bomba serta memanggil beberapa jiran terdekat untuk membantu memadam kebakaran.

“Tidak sampai beberapa minit api turut merebak ke arah rumah kami. kerugian yang dialami mencecah hampir RM100,000 membabitkan rumah serta peralatan rumah,” katanya.

Sedar rumah terbakar, waktu mahu mengambil kunci kereta

Seorang lagi mangsa, Fitriah Arifin, 30, berkata, nasib baik sewaktu sedang membasuh pinggan, dia tergerak hati mahu naik ke tingkat atas mengambil kunci kereta.

“Belum sempat melangkah ke anak tangga kedua saya nampak api marak di bahagian atas rumah sebelum bergegas turun sambil menjerit meminta anak-anak, suami serta ayah berlari ke luar.

“Memang tidak sempat capai apa-apa barang pun kerana panik serta mendukung anak bongsu sebelum keluar daripada rumah menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya anak-anak sudah tidur namun mujurlah ketika kejadian mereka sedang menonton televisyen bersama bapa di ruang tamu dan sempat menyelamatkan diri.

“Walaupun agak sedih dengan kejadian berlaku kerana ini merupakan rumah pusaka peninggalan datuk namun saya reda dengan apa yang berlaku. Kerugian dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

“Ini adalah kejadian pertama yang berlaku sejak saya tinggal di sini. Buat sementara waktu kami sekeluarga menumpang di rumah saudara,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Jabatan Bomba Kedah, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.47 malam dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Ahmad Naufal berkata, operasi memadamkan kebakaran melibatkan empat unit jentera bomba dan dibantu tujuh jentera bomba sukarela.

“Sepanjang operasi memadamkan kebakaran kita tidak menghadapi sebarang masalah dan mendapat bekalan air daripada sungai berhampiran tetapi api merebak terlalu cepat kerana kedudukan rumah terlalu dekat.

“Api berjaya dikawal pada pukul 8.04 malam dan kita masih menyiasat kerugian dan punca kebakaran,” katanya.

Post a Comment

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget