Perkongsian ilmu dan informasi yang berkaitan dengan Islam dan akhir zaman berdasarkan akidah ahlus sunnah wal jamaah.

Hablum Minallah

Kertas kerja ini pernah dikulliahkan dibeberapa buah masjid di Negeri Perlis, di Persatuan al-Islah Perlis dan di Singapura.

Mudah-mudahan kertas kerja ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca serta para pencinta ilmu agama dan kebenaran.  

Doa dari penulis, semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah Subhanahu wa-Ta’ala serta dipelihara ketaatan dan keimanan kita dengan taufik dan hidayahNya.  Amin!

بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ ، والصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الاَنْبِيَاءِ وَالْمُرِسَلِيْنَ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ .

HABLUM MINALLAH

Allah Subhanahu wa-Ta’ala melalui firmanNya dan melalui RasulNya Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam berulang kali meyeru kepada setiap orang yang beriman agar tidak bercerai-berai (tidak berpecah-belah), kerana diwajibkan kepada mereka agar berpegang teguh kepada agamaNya atau kepada kitabNya (yang menyeru kepada perpaduan - pent.),[1] kerana bersatu padu merupakan perjanjian (perintahnya)Nya di dalam al-Quran.  

Sekalian mereka yang beragama Islam diseru agar sentiasa bersatu atau berjamaah.  Diharamkan dari berpecah-belah kerana perpecahan adalah kehancuran dan berjamaah adalah kejayaan.[2]  

Jelasnya al-Quran mewjibkan orang-orang beriman agar sentiasa berjamaah di atas kalimah i'tisam (اعتصام) 

"Al-Quran" yang hak dan berserah diri kepada Allah.[3]  Al-Quran dengan jelas mengharamkan perpecahan sebagaimana berpecahnya golongan Ahli al-Kitab serta orang-orang jahiliyah.  

Allah menyeru agar setiap mukmin sentaisa bersatu sebagaimana firmanNya:

وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا

"Dan berpegng teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai".    Ali Imran, 3:103.

Tajuk yang diberikan kepada saya untuk dibincangkan dalam kulliah ini ialah tentang hablullah (حبل الله) yang antara maksud dan ertinya: "Tali Allah/Perjanjian Allah" sebagaimana yang terdapat di dalam ayat selanjutnya:

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ اَيْنَ مَا ثُقِفُوْا اِلاَّ بِحِبْلٍ مِّنَ اللهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ

"Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia". Ali Imran, 3:112.

Hablullah (حبل الله) di dalam ayat ini dan di ayat sebelumnya selain bermakna perjanjian ia dimaksudkan juga sebagai "Al-Quran".  

Ia memberi maksud bahawa kekuatan berjamaah tercipta setelah kembali kepada al-Quran, kerana al-Quran memandu ke jalan yang lurus sebagaimana terdapat dalilnya dari hadis Nabi Muhammad sallallahu 'alihi wa-sallam:

هُوَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنُ وَصِرَاطُهُ الْمُسْتَقِيْمُ

"Ia (al-Quran) ialah tali Allah yang kuat dan jalanNya yang lurus".

اِنَّ هَذَا اَلْقُرْآنَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنُ ، مَنْ قَالَ بِهِ صَدَق وَعَمَلَ بِهِ رَشَد ، وَمَنِ اعْتَصَمَ بِهِ هدى اِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ.

"Al-Quran adalah tali Allah yang kukuh, sesiapa yang berkata dengannya benar, beramal dengannya mengikut petunjuk dan sesiapa berpegang kepadanya mendapat hidayah ke jalan yang lurus".

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِتَبُ اللهِ هُوَ حَبْلُ اللهِ الْمَمْدُوْدُ مِنَ السِّمَآءِ اِلَى اْلاَرْضِ

"Dari Abi Sa'ied berkata:  Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Kitab Allah (al-Quran) ia adalah tali Allah yang mengikat (menghubung) dari langit ke bumi".

اِنَّ هَذَا الْقُرْآنُ هُوَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنُ ، وَهُوَ النُّوْرُ الْمُبِيْنُ ، وَهُوَ الشِّفَاءُ النَّافِعُ ، عِصْمَةٌ لِمَنْ تَمَسَّكَ بِهِ ، وَنَجَاةٌ لِمَنِ اتَّبَعَهُ.

"Sesungguhnya al-Quran ini adalah tali Allah yang kukuh, ia cahaya Allah yang menyinar, ia pengubat yang mujarab, selamat sesiapa yang berpegang dengannya dan berjaya sesiapa yang mengikutinya (berittiba' dengannya)".

اِنَّ هّذَا الصِّرَاطَ مُحْتَضِرٌ يَحْضُرُهُ الشَّيَاطِيْنُ . يَا عَبْدَ اللهِ هَذَا الطَّرِيْقُ ، هَلُّمَ اِلَى الطَّرِيْقِ فَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ فَاِنَّ حَبْلِ اللهِ الْقُرْآنُ.

"Sesungguhnya jalan itu adalah tempat lalu lalang, syaitan-syaitan selalu datang kepadanya.  Wahai Abdullah! 

Ambillah jalan ini, kemarilah, tempuhlah jalan ini.  Maka mereka berpegang kepada tali Allah kerana sesunguhnya tali Allah itu adalah al-Quran".


Dalam ayat yang mulia ini, dengan jelas Allah Subhanahu wa-Ta’ala menyeru agar para hambanya yang beriman sentiasa bersatu dengan berpegang teguh kepada tali Allah ( حبل الله ).  

Maka tali Allah yang dimaksudkan antaranya ialah:

Hablullah:   Bermaksud:  “al-Jamaah” sebagaimana dapat difahami dari penafsirannya oleh Abdullah bin Masoud bahawa beliau berkata:  "Hablullah ialah al-Jamaah"[4].  

Maka dengan penafsiran ini menunjukkan bahawa berjamaah itu wajib dan berpecah-belah adalah haram dan berdosa besar.

Hablullah:   Bermaksud:  “Islam”[5] sebagai agama Allah yang mana manusia dipersaudarakan oleh Allah dengan agama yang mulia ini.

Hablullah:  Dari Ibn Abbas beliau berkata:  "Hablullah ialah al-Quran".[6]  Dimaksudkan al-Quran[7] kerana ia dapat merawat penyakit hati (penyakit rohani).  

Diseru agar berpegang kepada al-Quran kerana ia menjadi penunjuk jalan yang lurus, cahaya yang terang, penyelamat di dunia-akhirat dan dijamin mendapat kejayaan bagi sesiapa yang mengikutinya.


Hablullah:   Bermaksud”  “Sirat al-Mustaqim” (صراط المستقيم) "Petunjuk atau jalan yang lurus". Yang mana manusia akan bersatu jika mengikut satu jalan yang lurus ini sahaja.

Hablullah:   Bermakksud” “Ikhlas”, sebagaimana yang dijelaskan oleh Abul 'Aliyah rahimahullah  ( بالاخلاص لله وحده ) "Dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah Yang Esa".

Hablullah:   Bermaksud: “Perjanjian dan perintah Allah”, sebagaimana dari Qatadah: "Dengan perjanjian dan suruhanNya (perintahNya)".

Terdapat di dalam ayat-ayat yang mulia di atas ini, seruan Allah Subhanahu wa-Ta’ala kepada setiap hambanya yang beriman agar bersatu melalui al-Quran dengan penuh keikhlasn, mengikut jalan yang satu iaitu jalan yang lurus, beristiqamah dalam berjamaah dan menjauhi setiap perkara atau unsur-unsur yang boleh menyebabkan berlakunya cerai-berai (perpecahan).

Setelah al-Quran terdapat banyak hadis-hadis sahih yang mengharamkan orang-orang yang beriman dari berpecah-belah.  

Tafsiran ayat di atas ini juga terdapat di dalam kitab Sahih Muslim melalui hadis Suhail bin Abu Soleh, dari ayahnya, dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:

اِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِنَّ اللهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلاَثًا ، يَرْضَى لَكُمْ اَنْ تَعْبُدُوْهُ وَلاَ تَشْرِكُوْا بِهِ شَيْئًا ، وَاَنْ تَعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَتَتَفَرَّقُوْا وَاَنْ تُنَاصِحُوْا مَنْ وَلاَّهُ اللهُ اَمْرَكُمْ وَيَسْخَطُ ثَلاَثًا : قِيْلَ وَقَالَ ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ ، وَاِضَعَةَ الْمَالِ.

"Dari Abi Hurairah radiallahu 'anhu berkata:  Sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya Allah meredhai tiga perkara dan memarahi (murka) tiga perkara:  Allah redha kepada kamu apabila kamu mengibadahiNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu, berpegang teguh kepada tali Allah dan tidak bercerai-berai, dan kamu sentiasa menasihati pemimpin yang diangkat Allah menguruskan urusanmu.  Dan Allah marah (murka) kepada kamu tiga perkara: Memperkatakan itu dan ini (banyak berdebat), banyak bertanya dan boros (menyia-nyiakan) harta".

Jika umat Islam hidup bersatu atau berjamaah, Allah Subhanahu wa-Ta’ala menjamin mereka dari kekeliruan sebagaimana yang warid dari hadis-hadis sahih.  

Namun perpecahan akan berlaku juga sebagaimana kenyataan yang berlaku ke atas ummah Islam sekarang ini, ia telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dalam hadis iftiraq (hadis perpecahan) bahawa umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, hanya satu berjaya ke syurga dan selamat dari api neraka, iaitu mereka (yang mengikut jejak berjamaah) yang menyerupai jamaah Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam dan jamaah para sahabat baginda.[8]

Imam Syaukani pula menafsirkan yang dinukil dari Abu al-'Aliyah:

عَنْ اَبِى الْعَالِيَة قَالَ : وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ الله : بِالاِخْلاَصِ للهِ وَحْدَهُ

"Dari Abi al-'Aliyah berkata:  Berpeganglah kamu kepada tali Allah (bersatu) dengan keikhlasan semata-mata kerana mengEsakanNya".[9]

Dikeluarkan dari Ibn Abi Hatim dari al-Hasan berkata:

"(Berpegang kepada tali Allah) ialah dengan mentaatiNya".

Dan dari Qatadah pula berkata:

"Dengan perjanjian dan suruhanNya (perintahNya)".[10]

Ayat di atas ditafsirkan oleh Ibn Jarir at-Tabari: 

"Berpeganglah kamu sekalian kepada agama Allah sebagaimana yang telah diperintahkan, dan perjanjianNya yang Ia telah janjikan kepadamu di dalam kitabNya agar bersatu atas kalimah yang hak dan menerimanya kerana perintah Allah"[11]

Dengan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa antara tanda-tanda bid'ah ialah berpecah, (bercerai-berai), keluar dari jamaah dan dan tidak memperdulikan seruan Allah Subhanahu wa-Tal’ala  agar sentiasa bersatu malah melakukan yang sebaliknya.

Semoga sekalian umat Islam mendengar seruan Allah Subhanahu wa-Ta’ala dan memperteguhkan lagi perpaduan dan kasih sayang antara sesama mereka agar dirahmati dan diberkati oleh Allah Azza wa Jalla.

[1].  Lihat:  تفسير ابى السُّعودjld. 1.  hlm. 66.

[2].  Lihat:  الجامع لاحكام القرآن  Juz. 4. hlm 159.  Al-Qurtubi.

[3].  Lihat:  جامع البيان   Jld. 3. hlm. 42.

[4]. Lihat: جامع البيان Jld 3 hlm 42 Lihat: الجامع لاحكام القرآن Juz 1 hlm 159.

[5].  Lihat: فتح القدير  Jld. 1. hlm. 369.

[6].  Lihat:   الجامع لاحكام القرآنJuz. 4. hlm.159.  al-Qurtubi.

[7].  Lihat:   فتح القدير Jld. 1. hlm. 368.

[8].  Teks ini dinukil dari tafsir Ibn Kathir jld 1 hlm 516-517.

[9].    Lihat:  فتح القديرJld 1 hlm 369  Asy-Syaukaniy.  Lihat: جامع البيان  At-Tabary.  Jld. 3.  hlm. 44.

[10].    Ibid.  Hlm. 369.

[11].   Lihat:  جامع البيان Jld. 3 hlm. 42.  Ibn Jarir at-Tabary.

Post a Comment

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget