Menurut ahli ilmu, yakin adalah sifat ilmu. Yakin terhadap syahadah bermakna mengetahui dengan sempurna makna syahadah tanpa sedikit pun keraguan terhadap makna tersebut sehingga tidak ada sesuatu yang bertentangan dengan keyakinannya di dalam hatinya.
Yakin atau percaya juga memberi maksud:
"Yang mengucapkannya benar-benar mengetahui dan percaya tentang apa yang diucapkan kerana berdasarkan dalil-dalil yang mantap, yang tidak ada rasa syak padanya dan tidak diragukan".
Sebagaimana firman Allah:
اِنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا بِاللهِ وَرَسُوْلِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوْا وَجَاهَدُوْا بِاَمْوَالِهِمْ وَاَنْفُسِهِمْ فِى سَبِيْلِ اللهِ اُوْلَئِكَ هُمُ الصَّادِقُوْنَ.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah serta beriman kepada RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar". Al-Hujurat, 49:15.
Keraguan pula berlawanan dengan keyakinan dan ilmu, oleh itu syarat keyakinan mestilah meninggalkan lawannya iaitu was-was dan keraguan dalam mengimani kalimah syahadah lahir dan batin.
Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menjelaskan hakikat ini dengan sabdanya:
مَنْ لَقِيْتُ مِنْ وَرَاءِ هَذَا الْحَائِطِ يَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ مُسْتَيْقِنًا بِهَا قَلْبَهُ فَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّة.
"Sesiapa yang menemui aku di sebalik tembuk ini sedangkan dia bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dengan penuh keyakinan terhadapnya di hatinya, maka berilah khabar berita gembira kepadanya dengan syurga".
مَنْ يَشْـهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاَنِّيْ رَسُوْلُ اللهِ لاَ يَلْقَى اللهَ بِهِمَا عَبْدٌ غَيْرَ شَاكٍ فِيْهَا اِلاَّ دَخَلَ الْجَنَّةَ. (وَفِى رِوَايَةٍ).
"Sesiapa yang mengucapkan bahawa tidak ada tuhan (yang hak) kecuali Allah dan sesungguhnya aku Rasulullah, tidaklah seorang hamba menemui Allah dengan dua kalimah syahadah tanpa syak (ragu-ragu) dengannya maka tidak lain kecuali dia akan dimasukkan ke syurga".
Diriwayat yang lain: Tidaklah seorang hamba menemui Allah dengan dua kalimah syahadah tersebut tanpa ada syak tentangnya maka baginya adalah syurga".
Lawan keyakinan ialah keraguan.
Agar keyakinan terhadap kalimah tauhid tidak tergugat, maka ilmu yang berkaitan dengan kalimah ini adalah penyelamatnya, kerana orang-orang yang berilmu sentiasa meyakini akidah yang dipegangnya, keyakinan akan menghapuskan segala keraguannya sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah dengan firmanNya:
شَهِدَ اللهُ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ وَالْمَلاَئِكَةُ وَاُوْلُوْا الْعِلْمِ قَآئِمًا بِالْقِسْطِ لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ.
"Allah menyatakan bahawasanya tidak ada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Para Malaikat dan orang-orang yang berilmu yang menegakkan keadilan juga menyatakan yang demikian itu. Tidak ada tuhan (yang berhak diibadahi) melainkan Dia. Yang Maha Perkasa lagi Yang Maha Bijaksana". Ali Imran, 3:18.
Post a Comment