Keimanan atau akidah tidak boleh dipisahkan dengan persoalan agama. Akidah adalah asas agama, ia berhubung kait secara langsung dengan semua tuntutan agama, malah akidah meliputi apa sahaja yang dinamakan agama secara keseluruhannya.
Tidak boleh dianggap beragama bagi sesiapa yang tidak beriman, begitu juga tidak boleh dianggap beragama bagi sesiapa yang ingkar untuk melaksanakan segala amal yang dituntut oleh keimanannya.
Keterangan ini telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam melalui sabda baginda dari riwayat Wafdi Abdul Qais:
آمُرُكُمْ بِاْلاِيْمَانِ بِاللهِ وَحْدَهُ قَالَ : اَتَدْرُوْنَ مَااْلاِيْمَانُ بِاللهِ وَحْـدَهُ ؟ قَالُوْا : اَللهُ وَرَسُــوْلُهُ اَعْلَمُ . قَالَ : شَـهَادَةُ اَنْ
لاَاِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاَنَّ مُحَمَّدًا رَسُـوْلُ اللهِ وَاِقَامُ الصَّلاَةِ وِايْتَاءُ الزَّكَاةِ وَاَنْ تُؤَدُّوْا مِنَ الْمَغْنَمِ الْخُمُسِ.
"Aku perintahkan kamu hanya beriman kepada Allah sahaja. Rasulullah seterusnya bersabda: Tahukah kamu apa makna beriman kepada Allah yang satu? Mereka menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Baginda bersabda lagi: Syahadatu an laa ilaaha illallah, wa anna Muhammadan rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan menunaikan seperlima harta ghanimah".
Seseorang yang mengakui beriman kepada agama Allah (Islam) tidak boleh mempunyai dua keimanan (akidah), kepercayaan atau ideologi yang lain di hatinya, sesiapa yang berbuat demikian telah melakukan kesyirikan terhadap Allah. Allah berfirman:
مَا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِّنْ قَلْبَيْنِ فِى جَوْفِهِ.
"Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seorang (insan) dua buah hati dalam rongganya (tubuhnya)". Al-Ahzab, 33:4.
Dari semua hujah-hujah di atas jelas menunjukkan bahawa iman itu boleh bertambah dan boleh berkurangan.
Bertambahnya iman melalui ketaatan (amal soleh) dan juga dengan bertambahnya ilmu.
Berkurangnya pula akibat banyaknya melakukan kemaksiatan dan kejahilan.
Iman juga terangkum dalam makna amal soleh terutamanya sembahyang, kerana dalam mengamalkan sembahyang terkumpul amalan hati, pengucapan dan pengikraran di lisan serta pembuktian melalui anggota badan (عمل الجوارح).
Post a Comment