Islam merupakan agama tauhid dan amal (ibadah) sehingga diulang berkali-kali kalimah yang menyeru agar "Beriman dan beramal soleh" atau kalimah yang seumpamanya.
Islam menuntut kepada setiap penganutnya agar sentiasa mentaati Allah di samping menjauhkan diri mereka dari segala bentuk maksiat, bid'ah dan kesyirikan. Firman Allah:
وَقُلِ اعْمَلُوْا فَسَيَرَى اللهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُوْلُهُ وَالْمُؤْمِنُوْنَ وَسَتُرَدُّوْنَ اِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ.
"Dan katakanlah! Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat amalan kamu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan". At-Taubah, 9:105.
Perlu sentiasa disedari bahawa seorang muslim setelah meninggalkan maksiat, ia wajib memahami akidah tauhid berserta ilmu-ilmu tentangnya.
Seterusnya, akidah tersebut perlu dijaga, dipelihara, diperkukuh dan disempurnakan dengan beramal soleh, iaitu dengan melaksanakan semua amal ibadah yang wajib dan yang tatawwu' (sunnah) dengan ikhlas, penuh ketaatan dan istiqamah yang dengannya akan menjadikan seseorang itu bertakwa kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala.
Sebagaimana yang telah diketahui bahawa Islam adalah agama yang paling sempurna sehingga tidak akan diterima apapun agama selainnya.
Islam menjadi nikmat bagi setiap penganutnya kerana sesiapa yang mati dalam keadaan Islam dan bersih akidahnya (tidak syirik), maka ganjarannya adalah syurga.
Ini bererti, amat malang dan paling rugi sesiapa yang mengambil agama selainnya, kerana jika ia mati dalam keadaan menganut agama selain agama Islam, maka kematiannya dalam kekafiran dan akibatnya ia akan di humban ke dalam neraka dengan penyiksaan yang amat pedih. (Na'uzubillahi min zalik).
Walaupun dalam penjelasan di atas dan dalam penjelasan yang selanjutnya (insya Allah) akan terus disentuh serba ringkas beberapa perkara yang berkaitan dengan Islam, namun dalam tulisan ini, penulis akan lebih menumpukan kepada pembahasan dan penelitian yang terperinci tentang "Iman" serta rukun dan syaratnya.
Tulisan yang membahas serta mengupas tentang iman ini, akan dipenuhi, dipadatkan dan diperkuat dengan dalil-dalil al-Quran, hadith-hadith sahih, athar para sahabat, qaul-qaul para tabi'in, tabi'ut at-tabi'in dan fatwa-fatwa para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang muktabar yang berpegang kepada manhaj Salaf as-Soleh.
Oleh itu ikutilah pembahasan dan penjelasan yang selanjutnya kerana penulisan ini akan diakhiri dengan membincangkan persoalan "Apa Itu Ihsan?"
Post a Comment