Pengertian agama Islam menurut istilah bahasa yang merangkumi juga pengertian syara sebagaimana yang disepakati oleh ahli ilmu ialah:
اَلاِسْلاَمُ هُوَ : اَلاِسْـتِسْـلاَمُ ِللهِ بِالتَّوْحِيْدِ ، وَالاِنْقِيَادُ لَهُ بِالطَّاعَةِ ، والْخُلُوْصُ مِنْ الشِّرْكِ وَالْبِدَعِ وَاَهْلِهِمَا.
"Islam itu ialah: Penyerahan diri kepada Allah dengan bertauhid, menyelamatkan diri dengan (menyerahkan) ketaatan kepadaNya, membersihkan diri dari kesyirikan, (menjauhkan diri dari) perkara yang bid'ah dan ahli dari keduanya (ahli syirik dan ahli bid'ah).
Menurut istilah yang lain pula ia difahami:
"Bahawa Islam adalah agama Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Ia telah disyariatkan (kepada hambaNya) sejak Nabi Adam 'alaihi as-salam hinggalah ke Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam yang diutus untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam".
Pengertian Islam di segi bahasa dan syara akan mudah difahami melalui penelitian dibeberapa ayat-ayat al-Quran. Antaranya firman Allah:
وَاَنِيْبُوْا اِلَى رَبِّكُمْ وَاَسْلِمُوْا لَهُ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لاَ تُنْصَرُوْنَ.
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)". Az-Zumar, 39:54.
Pengertian Islam jelas terdapat pada ayat di atas ini, iaitu dalam ungkapan yang berbentuk seruan Allah: "Kembalilah kepada Tuhanmu" dan "Berserah dirilah kepadaNya".
Di ayat seterusnya Allah berfirman:
فَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَانْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
"Maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan memeluk agama Islam". Al-Baqarah, 2:132.
وَاُمِرْتُ اَنْ اَكُوْنَ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ.
"Dan aku disuruh supaya aku termasuk golongan orang-orang yang berserah diri (kepadaNya)".
Yunus, 10:72.
Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa-Ta'ala menyeru kepada hamba-hambaNya agar janganlah mereka mati, kecuali dalam keadaan "Berserah diri kepadaNya" atau dengan maksud lain "Matilah dalam keadaan beragama Islam" supaya apabila menempuh kematian ia menempuhnya dalam keadaan "Yang Selamat".
Ayat-ayat seterusnya yang telah menjelaskan tentang pengertian Islam ialah:
اَفَغَيْرَ دِيْنِ اللهِ يَبْغُوْنَ وَلَهُ اَسْلَمَ مَنْ فِى السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَاِلَيْهِ يُرْجَعُوْنَ.
"Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadaNyalah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan".
Ali Imran, 3:83.
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ اْلاِسْلاَمِ دِيْنًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى اْلاَخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ.
"Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi". Ali Imran, 3:85.
اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَاَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ اْلاِسْلاَمَ دِيْنًا.
"Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu". Al-Maidah, 5:3.
يَآ اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا ادْخُلُوْا فِى السِّلْمِ كَآفَةً.
"Hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya". Al-Baqarah, 2:208.
Namun, orang-orang yang benar-benar dinamakan beragama Islam (Muslim) ialah mereka yang berpegang kepada rukun Islam yang lima dan beriman kepada rukun iman yang enam yang termasuk di dalamnya beriman kepada kitab Allah (al-Quran) kemudian berserah diri kepadaNya.
FirmanNya:
اَلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا بَاَيَاتِنَا وَكَانُوْا مُسْلِمُوْنَ.
"(Iaitu) orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami dan adalah mereka dahulu orang-orang yang berserah diri". Az-Zukhruf, 43:69.
Semua dalil-dalil di atas menerangkan tentang pengertian Islam dan mereka yang dinamakan muslim, maka dengan bersandarkan kepada dalil-dalil tersebut para ulama Salaf as-Soleh berpendapat bahawa erti Islam itu ialah:
- Penyerahan diri kepada Allah melalui petunjuk syara.
- Islam dibina di atas asas tauhid yang dimantapkan dengan mengenal ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, dikukuhkan dengan memahami rukunnya yang dua dan syarat-syaratnya yang lima.
- Dikukuhkan dengan cara mempelajari, memahami dan mengenal rukun iman yang enam perkara.
- Difahami melalui syarah dari kedua-dua rukun (rukun Islam dan iman) yang telah dijelaskan oleh ulama Salaf as-Soleh.
- Dan diselamatkan Islam tersebut dengan pengucapan kalimah ikhlas/tauhid (dua kalimah syahadah serta pengakuan bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah hamba Allah dan utusanNya). Kemudian sentiasa difahami dan selanjutnya dipenuhi tuntutan dan syarat-syarat yang terdapat pada kalimah syahadah ini
Post a Comment