Perkongsian ilmu dan informasi yang berkaitan dengan Islam dan akhir zaman berdasarkan akidah ahlus sunnah wal jamaah.

Mukmin Sejati

Perlu disedari bahawa belum memadai jika sekiranya seseorang itu setakat mengaku dirinya sebagai seorang mukmin jika hanya sekadar mempercayai (berdasarkan kepercayaan) semata.  

Seseorang itu juga tidaklah dinamakan beriman jika tidak dibuktikan keimanannya atau akidah tauhidnya dengan amal-amal yang soleh.  

Kerana Abu Talib juga percaya dengan kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam, tetapi dia tidak dianggap sebagai seorang mukmin lantaran tidak pernah membuktikan keimanannya sama ada dengan pengucapan kalimah tauhid atau mengamalkan amal ibadah yang telah diwajibkan oleh syara kepada setiap mukmin yang mukallaf

Oleh itu, sesiapa sahaja yang hanya percaya dengan segala apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wa-sallam, mengakui bahawa baginda adalah semulia-mulia Nabi dan Rasul, meyakini bahawa agama yang dibawanya adalah sebaik-baik agama, namun jika ia enggan beramal dengan apa yang telah diwajibkan dan tidak meninggalkan apa yang telah diharamkan, maka ia tetap dianggap tidak beriman kerana keingkarannya beramal secara lahir walaupun mempunyai kepercayaan di batinnya.  

Serangkap kata-kata Arab telah menjelaskan keadaan orang-orang seperti ini:

اَلظَّاهِرُ عِنْوَانُ الْبَاطِن.

"Yang lahir itu adalah tanda/alamat (sebenar untuk) menunjukkan yang di batin". 

Dari keterangan ini dapat difahami bahawa jika sekiranya seseorang itu tidak redha, belum mengikrarkan (membuktikan) hakikat keimanannya, enggan mengamalkan apa pun suruhan dan tuntutan agama sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara dan tidak mahu berilmu tentangnya, maka ia tidak dianggap sebagai insan yang beriman.  

Dianggap tidak beriman sesiapa yang tidak menyakini wajibnya menunaikan setiap tuntutan yang telah diwajibkan oleh syara. 

Begitu juga tidak beriman sesiapa yang mengingkari kewajipan yang telah diwajipkan oleh syara kepada setiap orang yang beriman.   

Antara penjelasan dari ulama Salaf as-Soleh tentang tuntutan pembuktian iman sama ada dengan pengucapan atau amalan ialah: 

"Pembuktian iman melalui amal perbuatan itu adalah wajib kerana ia termasuk dalam bab kesempurnaan iman, maka sesiapa yang mengingkarinya dia adalah Murjii.   Manakala sesiapa yang memasukkan ke dalam bab iman sesuatu amal yang bukan daripadanya maka dia adalah seorang yang mubtadi' atau pencinta bid'ah".

Dalam menjelaskan tentang akidah, Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, memaksudkan antara pengertian akidah sebagai keimanan serta keikhlasan yang tersemat dan terpelihara di hati.  

Iman, akidah dan keikhlasan merupakan himpunan segala perkara dan sebagai sendinya dalam meyakini agama. 

Iman tidak didahului oleh yang lainnya dalam manhaj agama dan tidak ada yang dapat menempati kedudukannya dalam perilaku beragama.  

Iman penyempurna baiknya hati, menjadi syarat utama untuk diterima segala amal kebaikan atau amal ibadah yang dilakukan oleh seseorang insan dan iman menjadi asas utama untuk menjadi insan yang bertakwa. 

Firman Allah:

وَالَّذِيْ جَآءَ بِالصِّدْقِ وَصَدَقَ بِهِ اُوْلَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُوْنَ.

"Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan yang mempercayai(nya), mereka itulah orang-orang yang bertakwa". Az-Zumar, 39:33.
Di dalam kitab sahih Bukhari, telah dikhususkan satu bab bertajuk:  "Sesungguhnya Iman itu ialah amal". 

Seterusnya dibawakannya sebuah hadith:

عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ اَيُّ الْعَمَلِ اَفْضَلُ ؟ فَقَالَ : اِيْمَانٌ بِاللهِ وَرَسُوْلِهِ.

"Dari Abi Hurairah sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah ditanya, apakah amal yang terbaik?  Maka baginda menjawab:  Beriman kepada Allah dan RasulNya".  

Sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagaimana di dalam hadith ini bahawa amal yang terbaik ialah "Beriman kepada Allah". 

Ini merupakan jawapan yang menjelaskan kepada amal yang paling afdal (terbaik) yang menunjukkan bahawa iktikad (iman) dan pengucapannya termasuk dalam jumlah amal,   seterusnya diiringkan dengan amal-amal fizikal kerana ia adalah penyempurnaan iman yang tersemat di hati.

Post a Comment

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget