Jumhur ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh sentiasa membawakan dalil-dalil syara apabila memperkatakan persoalan yang menyentuh akidah atau yang berkaitan dengan tauhid, sama ada dalil dari al-Quran atau dari hadith-hadith yang sahih. Antara dalil-dalil tauhid ialah firman Allah Azza wa-Jalla:
وَاِذَا ذَكَرْتَ رَبَّكَ فِى الْقُرْءَانِ وَحْدَهُ وَلَّوْا عَلَى اَدْبَارِهِمْ نُفُوْرًا.
"Dan apabila kamu menyebut saja Tuhanmu (Yang Esa) dalam al-Quran, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana bencinya".
Al-Isra', 17:46.
وَاِذَا ذُكِرَ اللهُ وَحْدَهُ اشْمَاَزَّ تْ قُلُوْبُ الَّذِيْنَ لاَ يُؤْمِنُوْنَ بِالاَخِرَةِ وَاِذَا ذُكِرَ الَّذِيْنَ مِنْ دُوْنِهِ اِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُوْنَ.
"Dan apabila hanya nama Allah saja (Yang Esa) yang disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, dan apabila nama sembahan-sembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka beriang hati".
Az-Zumar, 39:45.
ذَلِكُمْ بِاَنَّهُ اِذَا دُعِيَ اللهُ وَحْدَهُ كَفَرْتُمْ وَاِنْ يُشْرِكْ بِهِ تُؤْمِنُوْا فَالْحُكْمُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ.
"Yang demikian itu adalah kerana kamu kafir apabila Allah saja disembah. Dan kamu percaya apabila Allah dipersekutukan. Maka putusan (sekarang ini) adalah pada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar".
Al-Mukmin, 40:12.
Terdapat pada ayat di atas penunjuk tentang tauhid iaitu ungkapan ayat: "Allah Yang Maha Esa", "Apabila Allah sahaja disembah" dan "Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar". Antara dalil-dalil yang terdapat pada sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam pula ialah:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُـوْلَ اللهِ صَـلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا بَعَثَ مُعَاذًا اِلَى الْيَمَنِ قَالَ : اِنَّكَ تُقَدمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ اَهْلِ الْكِتَابِ فَلْيَكُنْ اَوَّلَ مَا تَدْعُوْهُمْ اِلَىاَنْ يُوَحِّدُوْا اللهَ.
"Dari Ibn Abbas radiallahu 'anhu, bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam ketika mengirim Mu'az ke Yaman baginda bersabda: Engkau akan menghadapi satu kaum dari Ahli Kitab, maka jadikanlah pokok pertama dakwah engkau mengajak mereka sekalian supaya mentauhidkan Allah".
عَنْ طَارِقِ بْنِ اَشِيْمٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ يَقُوْلُ : مَنْ وَحَدَّ الله وَكَفَرَبِمَايعْبَدُمِنْ دُوْنِهِ حَرَّمَ مَالَهُ وَدَمَهُ وَحِسَابهُ عَلَىاللهِ عَزَّ وَجَلَّ.
"Dari Tariq bin Asyim berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Sesiapa yang mentauhidkan Allah dan mengkufuri apa yang diibadahi selainNya, diharamkan harta dan darahnya. Dan perhitungannya atas Allah 'Azaa wa-Jalla".
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ قَالَ : بُنِيَ اْلاِسْلاَم عَلَى خَمْسٍ : عَلَى اَنْ يُوَحِّدَ الله ، وَاِقَامِ الصَّـلاَة ، وَاِيْتَاءِ الزَّكَاة ، وَصَـوْمِ رَمَضَان ، وَالْحَجَّ.
"Dari Ibn 'Umar radiallahu 'anhuma, dari Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam beginda bersabda: Dibina Islam atas lima perkara: (Diwajibkan) mentauhidkan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji".
Dalam semua hadith Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam di atas terdapat dalil-dalil tentang tauhid, iaitu ungkapan: "Jadikanlah pokok pertama dakwah engkau mengajak mereka sekalian supaya mentauhidkan Allah", "Sesiapa yang mentauhidkan Allah..........." dan "Diwajibkan mentauhidkan Allah". Semua dalil-dalil ini menolak di atas kejahilan orang-orang yang mengingkari "Tauhid".
Post a Comment