Nama penuh Imam Habib Abdullah Haddad adalah Syed Abdullah bin Alwi al-Haddad.
Beliau dilahirkan di sebuah perkampongan di Kota Tarim, yang terletak di negeri Hadharamout pada 5 Safar 1044 Hijrah.
Beliau telah dibesarkan dan mendapat pendidikan awal Al-Quran di kampongnya itu.
Sewaktu masih kecil, beliau telah diserang penyakit cacar sehingga menyebabkan dia buta penglihatan.
Walaupun buta, beliau tidak putus asa.
Dia dengan gigih meneruskan pelajaran ilmu agama Islam sehingga menjadi pandai dan jaguh di dalam selok belok agama.
Disamping belajar, beliau sentiasa mendampingi para ulama yang tersohor di zaman itu, sehingga dia mempunyai kekuatan menghafal ayat-ayat al-Quran yang amat menakjubkan serta memahami ilmu agama yang amat luarbiasa.
Sepanjang kehidupannya, dia tidak jemu-jemu menuntut ilmu agama.
Segala ilmu yang dipelajarinya itu, diamalkannya di dalam menjalani kehidupan harian.
Beliau juga bergiat mendidik murid-muridnya serta membimbing orang ramai yang berminat untuk mempelajari tentang agama Islam secara lebih mendalam.
Murid-muridnya bukan sahaja datang dari kawasan-kawasan berhampiran malahan dari seluruh pelusuk dunia.
Imam Habib Adullah al-Haddad juga gemar mengembara ke luar negara untuk tujuan berdakwah serta menyebarkan ilmu pengetahuan.
Ini menyebabkan nama beliau menjadi terkenal di negara-negara yang dilawatinya itu.
Lantaran itu, ilmu tentang agama Islam menjadi lebih tersebar luas.
Selain sebagai pendakwah, Imam Habib Abdullah juga adalah seorang penyair dan penulis yang tersohor.
Tulisannya amat amat mengharu dan memikat hati orang ramai.
Diantara kitab-kitab terkenal yang ditulisnya ialah:-
- An Nashaaih Ad-Diniyah Wal-Washaaya al-Imaaniyah
- Ad-Da’wah At-Tammah
- Al-Mudzakarah Ma’al Ikhwan Wal-Muhibbin
- Al-Fushuul Al-Ilmiah
- Ittihaafus-Saail BiAjwibatil Musaail.
Imam Habib Abdullah Al-Hddad telah meninggal dunia pada 7 Zulqa’idah 1132 Hijrah.
Jasadnya telah disemadikan di Kota Tarim.
Kitab An Nashaaih ad-Diniyah Wal-Washaaya al-Imaaniyah telah diterjemahkan oleh Tuan Syed Ahmad Semait di Singapura pada tahun 1981 dalam tulisan jawi.
Nama kitab yang diterjemahkan itu di sebut sebagai “Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman”.
Edisi baru (dalam tulisan rumi ) kitab ini telah di terbitkan pada 1989.
Edisi ini telah diulang cetak sebanyak 17 kali. Cetakan terbaru adalah pada tahun 2011.
Kitab yang terkenal ini telah menjadi kitab rujukan di dalam kelas Kuliah Subuh yang diadakan di masjid Sirajudin al-Anuar, Kg. Batu Belah, Klang.
Kelas Kuliah Subuh ini diadakan setiap dua Ahad, selepas sembahyang Subuh Ahad adalah di bawah bimbingan Yang Berbahagia Ustaz Ali Tuah.
Post a Comment