SELASA, 9:48 PAGI. 12-11-2002, 7 RAMADHAN 1423.
BUDI AGONG, BOGOR.
BASMALAH WALHAMDALAH
DI AKHIR ZAMAN INI MANUSIA BANYAK YANG KELIRU.
Yang benar jadi salah, yang salah jadi benar pada pandangan mereka.
Yang sunat dianggap bid’ah, yang bid’ah dianggap sunat.
Yang halal diharamkan, yang haram dihalalkan.
Yang hina dihormati, yang mulia dihinakan.
Yang merbahaya dianggap selamat, yang selamat dianggap merbahaya.
Yang terang dan jelas dianggap kabur, yang kabur dianggap jelas.
Yang belum jelas salahnya, dihukum. Yang jelas-jelas salah bebas ke mana-mana melalang buana.
Mencari kebenaran sangat susah, lebih susah daripada mencari gagak putih.
Orang tidak lagi mencari kebahagiaan, tetapi berlumba-lumba memburu benda.
Alat dianggap tujuan, tujuan diperalatkan.
Yang haq diolah seolah-oleh bathil. Yang bathil disolek menjadi haq.
Hidup manusia dalam keragu-raguan, mati bukan menjadi pelajaran.
Syukur sudah tidak ada lagi. Kehausan akan dunia menjadi-jadi. Jalan ke Akhirat makin sepi, sepi dan terus sepi.
Kasih sayang diperdagangkan, diperjual belikan untuk mendapat keuntungan duniawi.
Amal-amal Akhirat disulap menjadi ilmu sihir untuk mendapat keuntungan duniawi.
Allah tidak lagi diingat dengan sungguh-sungguh hati. Manusia yakin dengan rencana sendiri.
Takdir seolah-olah tiada lagi menguasai manusia. Yang mengurus, mengatur perjalanan hidup cuma akal fikiran dan khayalan sendiri.
Manusia bertuhankan akal. Tidak banyak yang sedar bahawa yang akal ialah makhluk.
Orang yang dianggap baik saja sudah sesat, apalagi yang jahat-jahatnya.
Penjahatnya lebih jahat daripada haiwan.
Tidak ada beda lagi anatara jahatnya haiwan dengan jahatnya manusia.
Bahkan manusia lebih jahat daripada haiwan.
Pertumpahan darah bukanlah hal yang mengerikan lagi tetapi menjadi medan yang menentukan kalah atau menang.
Tidak mesti yang menang itu benar.
Tidak mesti yang kalah itu salah.
Manusia saling memperalatkan antara satu sama lain.
Keikhlasan sudah tidak ada lagi.
Itu adalah lagu lama yang sudah tidak diputar lagi.
Jujur dianggap bodoh. Bijak bercampur penipuan.
Manusia mahu tahu hal yang bukan tanggung jawabnya.
Tanggung jawabnya sendiri diabaikan.
Kicauan burung, deburan ombak, awan yang berarak, hujan gerimis, fajar yang menyinsing, angin sepoi-sepoi bahasa, bintang-bintang yang bertaburan di langit, kokok ayam di pagi hari, air menderum serasah memukul batu tidak lagi dapat dinikmati oleh manusia kerana hatinya mati.
Ketajaman perasaannya telah menumpul. Semua mahu dikomersialkan, mahu dijadikan wang. Istilahnya, ‘asal jadi duit’.
Yang dimakan bukan untuk disyukuri.
Yang dipakai bukan hanya sekadar menutup aurat.
Rumah bukan sekadar tempat tinggal tetapi adalah mahligai kebanggaan.
Merebut kekuasaan kerana balas dendam dan kepentingan peribadi.
Ilmu alat untuk kepentingan mengaut keuntungan materi.
Cinta dan kasih hanya omong kosong. Ia adalah alat untuk penipuan.
Keadilan hanya tinggal dalam ungkapan madah yang indah, tidak juga menjadi kenyataan.
Yang terzalim dianggap kerana kebodohan.
Yang menzalim disokong kerana darinya ada sumber-sumber rezeki.
Ilmu pengetahuan manusia bertambah tetapi kesesatan bermaharaja lela di mana-mana.
Jiwa manusia merintih minta kasih tetapi tidak ada yang mahu memodali kasih sayang sedangkan memodalkan kasih sayang tidak perlu akan dolar, dinar dan rupiah. Kasih sayang telah hilang.
Telah gersang hati manusia dari siraman kasih seperti gersangnya padang pasir tanpa hujan.
Cinta dan kasih, rindu dan mahabbah sudah tidak ada lagi seperti tidak ada air di Gurun Sahara.
Hati gersang, manusia kecewa.
Hati sepi dari kasih seperti rumah tanpa penghuni, seperti gua hantu yang ditakuti.
Manusia rasa seram sendiri.
Dia takut akan dirinya sendiri seperti orang yang takut sendirian di dalam rumah usang, di dalam gua gersang.
Kalau ada gema suara batin, itu sangat menakutkan, menyeramkan bulu tengkuk seperti seramnya gema-gema suara dalam gua yang gelap gelita.
Mata batin sudah tidak berdaya lagi menangkap sinar-sinar kasih dari alam tinggi, dari cahaya kenabian, dari sinar kerasulan, dari Tuhan Ar Rahman, dari Malaikatul Muqarrabin.
Mata batin telah buta oleh silaunya dunia.
Sinar materi menyucuk lubuk-lubuk hati manusia, memutus saraf-saraf penglihatan, membuahkan rabun, melahirkan buta. Buta rasa, buta cinta, buta kasih, buta rindu, buta mahabbah.
Dengan hati yang buta manusia meraba-raba mencari sececah cahaya.
Tidak! Tidak mungkin ia akan mendapatkannya kerana cahaya memenuhi mayapada.
Cahaya sangat kuat terangnya.
Namun yang buta bukan cahaya, yang buta adalah mata, mata hati manusia. Maka mata hati perlu dioperasi, kataraknya perlu dikikis, selaputnya dibersihkan supaya mata hati dapat melihat lagi, melihat akan Cahaya Ilahi.
Pada hari ini, lebih ramai orang yang celik matanya tapi buta mata hatinya.
Pada hari ini, cahaya sangat terang bahkan terang-benderang.
Cahaya ada di waktu siang dan malam tetapi sayang sibuta hati tidak menikmatinya.
Tanpa mata hati yang celik, bagaimana mungkin manusia akan dapat melihat alam-alam tinggi, alam ‘ulwa, alam yang dinikmati para Nabi dan wali, alam yang dinikmati para Malaikatul Muqarrabin.
Mereka adalah makhluk yang menikmati keindahan alam tinggi itu.
Mereka tidak pernah mahu memalingkan pandangan ke sasaran lain.
Terlalu indahnya alam tinggi itu, lebih indah daripada menonton siaran tv dan dvd yang menarik.
Mata hati mereka terpaku di sana. Seluruh akal dan perasaan terpaku ke sana.
Bahkan fisiknya juga terdiam kaku atau bergerak-gerak ke arah sasaran alam yang indah itu iaitu tanda-tanda kebesaran Allah atau disebut, ‘Ayatullah’ yakni Ayat-Ayat Allah.
Akhirnya mereka dengar suara-suara alam tinggi. Mereka bercakap dengan makhluk di alam tinggi.
Mereka terpaku melihat alam-alam tinggi itu.
Mereka menyaksikan dengan mata hatinya, dengan mata batin, dengan ‘basirah’ nya akan bagaimana agungnya cipataan-ciptaan Allah.
Indahnya tidak ada bandingan. Akhirnya mereka sampai ke satu titik kata. Kata-kata terakhir dari semua susunan bahasa,
كُلُّ مَن عَلَيها فانٍ
Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:
وَيَبقىٰ وَجهُ رَبِّكَ ذُو الجَلٰلِ وَالإِكرامِ
Dan akan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. (Ar Rahman: 26-27)
Ketika itu hilang segala keraguan mereka.
Hilang segala kebingungan mereka.
Hilang syak, dzon dan waham.
Yang ada hanyalah keyakinan.
Keyakinan yang mantap akan kewujudan dzat ‘Wajibal Wujud’.
Dzat yang ‘Laisa kamithlihi syaiun’ dan yang menggerak akan segala yang bergerak.
Yang menghidupkan segala yang hidup.
Yang memperdengarkan segala pendengaran.
Yang mencelik akan semua pandangan.
Dzat yang memperlihat akan semua mata.
Dzat yang Hidup, tidak pernah mati.
Dzat yang tidak pernah Awal, tidak akan pernah ada Akhir.
Dzat yang Kekal Abadi.
Dzat yang Esa, yang tidak ada duanya.
Dzat yang Tunggal.
Dzat yang Menguasai Segala-galanya.
Dzat yang kepadaNya tunduk segala kekuatan.
Dzat yang Maha Suci, yang tidak ada lebih suci daripadaNya.
Dzat yang daripadaNya lah segala sesuatu dan kepadaNya lah akan kembali segala sesuatu.
Segala-galanya ini adalah milik Dia.
Segala-galanya adalah DIA, ‘La maujuda illallah’.
Segala-galanya itu ada, tanda adanya DIA. DIA adalah DIA. Hu, Hu, Hu, Hu, Hu.
هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ ۚ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.
هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ ۖ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al Hashr: 23-24)
Allah mahu bercakap dengan Nabi Musa a.s. Nabi Musa bertanya, Allah menjawab.
Allah mahu memakbulkan doa Nabi Zakaria a.s. Nabi Zakaria berdoa, bermunajat, Allah kabulkan.
Allah mahu melindungi Nabi Yusuf a.s daripada godaan nafsu ketika dipujuk Zulaikha.
Allah mahu menurunkan hidangan dari langit ketika Nabi Isa a.s minta kepadaNya.
Allah mahu menyelamatkan Nabi Luth a.s ketika akan dihujani kaumnya dengan batu.
Allah mahu menyelamatkan Nabi Nuh a.s dengan memerintahnya membuat kapal dan menanam pohon jati ratusan tahun sebelum bumi ditenggelamkan.
Allah mahu menyelamatkan Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar r.a daripada kejahatan kaum Quraisy ketika bersembunyi di Gua Thur.
Bahkan Allah menjawab pertanyaan wanita mengenai haidh dan mendengar tangisan ‘Ashabul Bukak [اصحاب بكاء].
Demikianlah Allah sangat dekat dengan Nabi, dengan Rasul dan dengan manusia, lebih daripada dekat dengan urat leher mereka sendiri.
Allahlah yang menghapus keraguan manusia dengan menurunkan Al Furqan.
Post a Comment