Perkongsian ilmu dan informasi yang berkaitan dengan Islam dan akhir zaman berdasarkan akidah ahlus sunnah wal jamaah.

Iman Bertambah Dan Berkurang

Para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berjalan di atas manhaj Salaf as-Soleh, mereka sekalian tidak berselisih pendapat bahawa iman itu bertambah (kuat iman) melalui ketaataan dan berkurang (lemah iman) akibat melakukan kemaksiatan.   

Imam Al-Bukhari rahimahullah di dalam kitab sahihnya menjelaskan bahawa:  "Iman itu adalah merupakan ucapan dan perbuatan.  Ia bertambah dan berkurang". 

Hal keadaan iman yang boleh bertambah (kuat iman) dan berkurangan (lemah iman) telah dijelaskan di beberapa dalil dari firman Allah Subhanahu wa-Ta'ala dan hadith-hadith sahih.  

Antara dalil-dalil tersebut ialah:

هُوَ الَّذِيْ اَنْزَلَ السَّكِيْنَةَ فِى قُلُوْبِ الْمُؤْمِنِيْنَ لِيَزْدَادُوْا اِيْمَنًا مَّعَ اِيْمَانِهِمْ.

"Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah disamping keimanan mereka (yang telah ada)". Al-Fath, 48:4.

وَاِذَا مَآ اُنْزِلَتْ سُـوْرَةٌ فَمِنْهُمْ مَّنْ يَّقُوْلُ اَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَذِهِ اِيْمَانًا فَاَمَّا الَّذِيْنَ آمَنُوْا فَزَادَتْهُمْ اِيْمَانًا وَّهُمْ يَسْـتَبْشِـرُوْنَ . وَاَمَّا الَّذِيْنَ فِى قُلُوْبِهِمْ مَّرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًـا اِلَى رِجْسِهِمْ  وَمَاتُوْا وَهُمْ كَافِرُوْنَ .

"Dan apabila diturunkan suatu surat maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini?  Adapun orang-orang yang beriman maka surat ini menambah imannya, sedang mereka merasa gembira.  Adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadan kafir". At-Taubah, 9:124-125.

اِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوْا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى.

"Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah kepada mereka petunjuk (Allah tambah keimanan mereka)". Al-Kahfi, 18:13.

وَالَّذِيْنَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَءَاتَاهُمْ تَقْوَاهُمْ.

"Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Allah menambah petunjuk (iman) mereka dan memberikan kepada mereka (balasan) ketakwaannya". Muhammad, 47:17.
فَاخْشَوْهُمْ فَزَادُهُمْ اِيْمَانًا.

"Oleh kerana itu takutlah kepada mereka maka perkataan itu menambah keimanan mereka". Ali Imran, 3:173.

وَيَزِيْدُ اللهُ الَّذِيْنَ اهْتَدَوْا هُدًى.

"Dan akan menambah petunjuk (keimanan) kepada mereka yang telah mendapat petunjuk". Maryam, 19:76.

وَلَمَّا رَءَا الْمُؤْمِنُوْنَ اْلاَحْـزَابَ قَالُوْا هَذَا مَا وَعَـدَنَا اللهُ وَرَسُوْلُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ وَمَا زَادَهُمْ اِلاَّ اِيْمَانًا وَتَسْلِيْمًا.

"Dan ketika orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata:  Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita.  Dan benarlah Allah dan RasulNya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan kedudukan". Al-Ahzab, 33:22.
Terdapat hadith-hadith sahih yang menerangkan tentang bolehnya bertambah atau berkurangnya iman seseorang hamba kepada Allah Azza wa-Jalla:

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَلاِيْمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُوْنَ شُـعْبَة ، فَافْضَلُهَا قَوْلُ لاَاِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاَدْنَاهَا اِمَاطَةُ اْلاَذَى عَنِ الطَّرِيْقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الاِيْمَانِ.

"Dari Abi Hurairah radiallahu 'anhu berkata:  Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:  Iman itu beberapa tingkatan dan sehingga tujuh puluh tingkatan, yang paling mulia ucapan (لا اله الا الله).  "Tidak ada tuhan yang diibadahi dengan hak kecuali Allah" dan yang serendah-rendahnya ialah membuang sesuatu yang membahayakan dari jalanan, dan malu itu sebahagian dari iman". 

عَنْ اَبِيْ سَـعِيدِ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَـمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : مَنْ رَاَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ ، فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ ، فَاِنْ لَمْ يَسْتِطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ اَضْعَفُ اْلاِيْمَانِ.

"Dari Sa'ied al-Khudri radiallahu 'anhu berkata:  Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Sesiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, maka jika sekiranya tidak berdaya, maka (ubahlah) dengan lidahnya dan jika tidak berdaya, maka ubahlah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman". 

Menurut fatwa Imam Syafie rahimahullah yang dikeluarkan oleh Al-Baihaqi dari Ar-Rabii' bin Sulaiman, beliau telah menegaskan bahawa iman itu perkataan dan perbuatan, berkurang (lemah) dan bertambah (kuat iman).  Sebagaimana penjelasan beliau:

سَمِعْتُ الشَّافِعِي يَقُوْلُ : اَلاِيْمَانُ قَوْلٌ وَعَمَلٌ يَزِيْدُ وَيَنْقُصُ.

"Aku telah mendengar Syafie berkata:  Iman itu perkataan (ucapan/pengakuan), beramal (amalan) dan iman itu bertambah dan berkurang". 

Abu Abdullah Sufyan bin Sa'ed Ath-Thauri radiallahu 'anhu menjelaskan tentang iman:

عَنْ اَبِيْ عَبْدِ اللهِ سُفْيَانِ بْنِ سَعِيْدِ الثَّوْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : اَلاِيْمَانُ قَوْلٌ وَعَمَلٌ وَنِيَّةٌ ، يَزِيْدُ وَيَنْقُصُ ، يَزِيْدُ بَالطَّاعَةِ وَيَنْقُصُ بَالْمَعْصِيَّةِ.
"Dari Abi Abdullah Sufyan bin Sa'ed Ath-Thauri:  Iman itu berupa perkataan (ucapan), amalan dan niat, bertambah dan berkurangan.  Ia bertambah dengan ketaatan dan berkurangan disebabkan maksiat". 
 
Dikeluarkan oleh Al-Baihaqi dari Abi Muhammad Az-Zabiri berkata:

"Berkata seorang lelaki kepada Syafie:  Apakah amal yang afdal di sisi Allah?  

Berkata Syafie:  Apa saja amal yang tidak akan diterima kecuali dengannya.  

Lelaki itu bertanya:  Apakah itu?  

Beliau berkata:  Iman kepada Allah yang tidak ada Tuhan kecuali Dia.  

Dengannya segala amal diangkat darjatnya, dimuliakan kedudukannya.  

Berkata lelaki itu lagi:  Tidakkah engkau mahu mengkhabarkan kepadaku tentang iman, apakah ia perkataan dan amal atau perkataan tanpa amal?   

Syafie berkata:  Iman ialah beramal kerana Allah dan ucapan setelah melaksanakan amal tersebut.  Berkata lelaki itu:  Sifatkan kepadaku itu semua sehingga aku faham.  

Berkata Syafie:  Sesungguhnya Iman itu berada dibeberapa darajat dan tingkatan, antaranya ada yang benar-benar sempurna dan ada yang berkurangan sehingga jelas kekurangannya.  

Berkata lelaki tersebut:  Iman (ada kalanya Pent. ) tidak sempurna, berkurangan dan bertambah?  

Berkata Imam syafie:  Ya betul". 

Post a Comment

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget